NASIONAL

FOMCA: Syarikat telekomunikasi patut batalkan caj panggilan tak dijawab

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 7 OGOS: Caj panggilan tidak dijawab yang dikenakan syarikat telekomunikasi terhadap pengguna adalah tidak wajar dan perlu dibatalkan.

Ini ditambah dengan sistem peti simpanan suara (voicemail) yang kebiasaannya menjadi penyambut panggilan sekiranya pemilik telefon bimbit tidak menjawab panggilan.

FOMCATimbalan Presiden, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Bin Abdul Rahman berkata, masalah perkhidmatan berhubung telekomunikasi ini merupakan aduan tertinggi yang diterima Fomca.

Beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu menyiasat perkara ini termasuk masalah perkhidmatan talian yang sering dihadapi pengguna.

“Pada asasnya tidak perlu dikenakan caj kerana kita tidak dapat menggunakan perkhidmatan tersebut apatah lagi kadarnya dinaikkan.

“Jika ada masalah dari segi perkhidmatan, itu bukan masalah kita (pengguna).

“Ada syarikat telekomunikasi apabila kita tidak menggunakan perkhidmatan tersebut ia terus masukkan ke voicemail,” katanya kepada Selangor Kini.

Tambahnya, caj-caj lain yang dikenakan namun mutu perkhidmatan yang disajikan kepada pengguna tidak memuaskan perlu dihentikan selain sistem kontrak untuk beberapa aplikasi yang membebankan pengguna.

Sebelum ini terdapat bantahan daripada pengguna yang tidak berpuas hati apabila dikenakan cah sehingga RM0.40 terhadap panggilan yang tidak dijawab.

Jelasnya, Fomca sehingga kini belum pernah mengadakan pertemuan dengan syarikat telekomunikasi berhubung masalah yang dihadapi pengadu sebaliknya berbincang secara terus dengan SKMM untuk berbincang.

Kata beliau, syarikat telekomunikasi perlu memberikan perhatian mengenai perkara ini memandangkan pada 2013 sahaja, Fomca menerima 6,404 aduan pengguna melibatkan pelbagai masalah telekomunikasi.

EZY


Pengarang :