NASIONAL

Forum hangat bincang isu MB Selangor esok

SHAH ALAM 8 OGOS: Lensa Anak Muda Malaysia (LENSA) akan menganjurkan satu forum khas bertajuk “Krisis Selangor: Khalid Ibrahim Belot Pakatan Rakyat? ” pada 9 Ogos ini.

Program anjuran LENSA itu akan bermula pada jam 8.30 malam bertempat di Dewan MCPA, Kuala Lumpur & Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH) Sabtu ini.

forum

Program yang bakal diadakan dalam tempoh terdekat ini melibatkan beberapa badan profesional tempatan berhubung isu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal sebagai Menteri Besar.

Antara ahli panel yang terlibat adalah Pegawai Ekonomi & Kewangan Selangor, Azrul Azwar dan Solidariti Anak Muda Malaysia, Chegu Bard.

Turut hadir Penulis & Kolumnis, Nathaniel Tan, Eksekutif Komunikasi MB Selangor, Shazni Munir dan Lensa Anak Muda Malaysia, Syukri Razab sebagai moderator.

Berikut adalah kenyataan media berkenaan Forum ini:

Hari ini penyelesaian isu kemelut MB Selangor nampaknya masih belum selesai ke penghujungnya. Bahkan terkini sedang rancak diadakan sesi penerangan oleh beberapa pertubuhan NGO dan juga parti politik yang tampak kelihatan begitu jelas mempertahan pendirian bahawa MB Selangor perlu diturunkan segera.

LENSA mengambil pendirian dan tetap dengan prinsip, “Asalkan kepentingan rakyat diutamakan” maka Lensa akan bersama. Persoalannya adalah, sejauh mana isu MB ini pernah dijelaskan secara terus terang dan secara langsung kepada rakyat khususnya rakyat Selangor? Dan yang pihak Lensa ketahui, beberapa penerangan dan penjelasan yang dibuat sebelum ini hanya mengambil kira pandangan sebelah pihak, iaitu mereka yang berpendirian MB Selangor perlu ditukar.

Terus terang kami katakan, pertelingkahan ini sudah kelihatan berat sebelah pada mata rakyat dan kami anak muda emandangkan pihak MB sendiri mungkin masih kurang memberikan penjelasan berhubung isu besar ini. Tidak dinafikan juga, masih ramai yang keliru dan buntu mencari jawapan sebenar apabila isu ini dilontarkan termasuk di media-media sosial hari ini.

Lensa berpendirian, kebenaran itu tidak mengenal sesiapa. Kalau salah, kami juga akan katakan salah. Atas faktor ini, Lensa mengambil tanggungjawab untuk mengadakan satu lagi siri forum mengenai isu MB Selangor ini demi menyediakan ruang seadilnya bagi pihak-pihak yang terlibat dan kali ini khusus bagi pihak yang mempertahan MB Selangor. Tegas, kami tidak pernah berpihak kepada sesiapa dan hanya menjalankan tugas semak dan imbang dalam isu ini.

Untuk sebarang maklumbalas atau pertanyaan, pihak tuan/puan boleh menghubungi kami di talian 019-385 1902 (Shukri) atau emelkan kepada lensa.anakmuda@activist.com


Pengarang :