NASIONAL

Ganggu premis McD untuk boikot bertentangan dasar Islam

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 6 OGOS: Aqsa Syarif melahirkan kekesalan tindakan pihak tidak bertanggungjawab mengganggu premis McDonald’s Dungun yang melibatkan lontaran objek keras serta menggoncang pintu kedai dalam satu demonstrasi memboikot produk berkenaan semalam.

Pengerusi Aqsa Syarif Berhad, Prof. Madya Dr Hafidzi Mohd Noor berkata, boikot adalah hak pengguna namun ia tidak mewajarkan tindakan secara fizikal mahu pun lisan untuk menakut-nakutkan serta mendatangkan kecederaan batang tubuh atau emosi kepada pemilik premis dan pekerjanya.

Mce“Perbuatan sekumpulan orang yang mengganggu premis McDonald’s, membaling objek keras serta menggoncang pintu kedai amat dikesali.

“Perbuatan seperti ini tidak wajar dibiarkan begitu sahaja kerana ia bertentangan dengan tata susila, akhlak Islam dan lunas undang undang,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman rasmi Facebook Aqsa Syarif.

Menurutnya, Aqsa Syarif memohon orang ramai yang menyokong kempen boikot supaya mengawal diri dan tidak melanggar batas undang-undang dalam menjayakan kempen.

Jelasnya, tindakan liar dan melampau tidak tergolong sebagai menyokong inisiatif boikot sebaliknya lebih mirip kepada perbuatan merosakkan harta benda awam (vandalisme).

“Aqsa Syarif menyarankan orang ramai untuk menghubungi pihak polis jika perbuatan ganas seperti ini berulang lagi.

“Untuk mengelak perkara seperti ini diulangi oleh pihak tidak bertanggungjawab maka Aqsa Syarif menasihatkan agar tidak diadakan sebarang bentuk demonstrasi atau perhimpunan di hadapan atau berhampiran mana-mana premis McDonald’s,” kata beliau lagi.

EZY


Pengarang :