NASIONAL

Hujan tidak halang kemeriahan pembukaan Sukan Olimpik Remaja 2014

SHAH ALAM, 17 Ogos: Hujan tidak menjadi penghalang kemeriahan upacara pembukaan temasya Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014) ke-2 di Nanjing, China yang berlangsung dengan penuh warna-warni di Stadium Utama, Pusat Sukan Olimpik Nanjing, semalam.

Acara selingan majlis pembukaan YOG 2014 dimulakan dengan beberapa persembahan berkenaan budaya masyarakat China antaranya tarian naga yang berlangsung selama 60 minit.

Memetik Bernama, kira-Kira 62,480 penonton yang memenuhi stadium memberi penghormatan atas ketibaan Presiden China, Xi Jinping dan Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach.

nanjingMajlis diteruskan dengan detik perasmian yang menjadi simbol YOG 2014 bermula secara rasmi diikuti perarakan masuk 204 pembawa bendera yang bermula dengan Greece dan China sebelum disusuli negara lain.

Sementara itu, perenang pelapis kebangsaan, Lim Ching Hwang dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang mewakili 41 atlet dan pegawai yang mengambil bahagian pada temasya kali ini.

Selepas ucapan dari Bach, hadirin disajikan dengan lagu ‘Dreams Everlasting’ iaitu tema YOG 2014 oleh penyanyi terkenal, Lei Jia diikuti persembahan akrobatik basikal membabitkan sekumpulan remaja dan koreografi bertajuk ‘Light up the Future’ yang berkisar sejarah serta pembangunan China.

Kontinjen negara yang diketuai bekas pemain badminton negara, Wong Pei Tty mengambil bahagian dalam sepuluh daripada 28 acara yang dipertandingkan iaitu akuatik (renang dan terjun), badminton, gimnastik (artistik dan gimrama), golf, memanah, menembak, olahraga, pelayaran, taekwondo dan ekuestrian.

najing1Badan pentadbir sukan negara Majlis Sukan Negara, Majlis Olimpik Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan bagaimanapun tidak meletak sebarang sasaran pingat bagi temasya sukan yang diadakan setiap empat tahun sekali itu.

Pada edisi pertama YOG 2010 di Singapura, Malaysia menghantar 13 atlet pelapis negara beraksi dalam enam acara sukan dan mereka berjaya membawa pulang dua pingat perak menerusi Pandelela Rinong Pamg.


Pengarang :