SELANGOR

Idea sanggup hilang Selangor adalah pemikiran sasau, gelojoh

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 OGOS: Pakatan Rakyat (PR) harus menolak idea menjadikan kemenangan yang diperoleh di Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-13 lalu sebagai korban bagi menyelesaikan isu kemelut Menteri Besar yang sedang melanda negeri itu.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang baru, Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata hal itu berikutan idea berkenaan bukan sahaja tersasar daripada objektif penukaran menteri besar negeri terkaya itu, bahkan adalah satu idea yang sasau.

“Dalam krisis Menteri Besar Selangor, ada yang menyuarakan kesediaan untuk kehilangan negeri itu dan ada pula yang mahu Dewan Negeri Selangor (DNS) diubarkan. Ini semua adalah pemikiran yang sasau dan tersasar.

PAKATAN RAKYAT“PR mempunyai majoriti dua pertiga di DNS. Kita mempunyai tanggungjawab terhadap pengundi yang memberikan undi, kepercayaan dan amanah mereka kepada kita.

“Jadi, kalau kita ikuti saranan yang rela kehilangan Selangor atau mahu DNS dibubarkan, kita seperti di dalam bidalan orang tua Melaka; ibarat peniaga buluh kasap, dapat hujung, pangkal lesap,” katanya.

Shamsul berkata demikian dalam ucapan dasar Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Kongres sayap PKR yang berlangsung di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, hari ini.

Shamsul berkata, pihak yang mengeluarkan saranan sedemikian itu adalah golongan yang gelojoh untuk menonjolkan diri sendiri.

Shamsul Kongres PKR“Perubahan dan krisis seperti ini sememangnya mencabar tetapi kita harus bersabar menghadapi kepayahan dan mencari penyelesaian terbaik, bukan lari daripada landasan perjuangan,” katanya.

Beliau juga menyifatkan suara sumbang yang menggesa PKR keluar daripada PR atau berusaha menyingkirkan salah satu parti komponen sebagai bisikan syaitan.

-NFN-


Pengarang :