Isteri hasrat tunai hajat Allahyarham Imam Besar Masjid Negeri | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang


Isteri hasrat tunai hajat Allahyarham Imam Besar Masjid Negeri

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 OGOS: “Saya akan menunaikan hasrat terakhir arwah suami saya. Dia mahu saya meneruskan hajatnya yang tidak kesampaian untuk mencetak naskah Mushaf Tartil untuk diwakafkan kepada sekolah pondok, rumah anak yatim dan masjid serta surau,” kata balu Imam Besar Masjid Negeri, Allahyarham Ahmad Mustafa Al- Muqri.

Nurazira Ahmad Bashir, 35, ibu kepada lima orang anak ketika ditemui pemberita begitu cekal menghadapi dugaan yang menimpa.


Bagaimanapun, untuk berkongsi kisah keluarganya, beliau menganggap ia perlu dirahsiakan kerana tidak mampu untuk meneruskan perbualan kerana masih lagi bersedih.

DSC_4338Dalam kejadian 9 Jun lalu, Allahyarham Ahmad Mustafa menghembuskan nafas terakhir pada usia 39 tahun di Institut Jantung Negara akibat komplikasi jantung selepas enam hari dimasukkan ke institut itu.

Beliau dilantik menjadi Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sejak 2008 dan banyak pembaharuan dilakukan termasuk program mengimarahkan masjid.

Menceritakan hajat suaminya itu, beliau yang lebih disenangi dengan panggilan Kak Zira berkata, sebelum Allahyarham meninggal dunia, Ahmad Mustafa sangat sibuk dengan naskah Mushaf Tartil dan rakaman cakera padat, bacaan doa, tahlil serta yassin.

“Apabila saya melihat tajuk VCD, ‘hadiah buat yang tersayang’ benar-benar menyentuh hati saya. Ia seakan seperti tahu beliau akan pergi meninggalkan kami.

“Sebelum Allahyarham pergi, selain meminta saya menjaga anak dengan baik, itu adalah perkara yang keluar daripada mulutnya untuk saya meneruskan niat dalam mencetak semula naskah Mushaf Tartil.

DSC_4350“Manakala, VCD itu juga saya mungkin boleh menjualnya semula sebagai pendapatan untuk menyara keluarga,” katanya.

Selain itu, Nurazira berkata, ketika Allahyarham masih hidup, beliau sangat mementingkan solat jemaah bersama keluarga.

“Menjaga solat lima waktu, itu juga adalah antara pesanan terakhir arwah. Semasa hayatnya, beliau sangat menitik beratkan solat,” katanya.

Beliau berkata, Ahmad Mustafa juga seorang bapa yang sangat penyayang dan lemah lembut dengan semua anaknya.

“Apabila beliau pulang dari masjid atau sebarang tempat, perkara pertama selepas menjejakkan kaki ke dalam rumah adalah bertanya di mana anaknya. Itu yang menjadikan beliau sangat rapat dengan mereka,” katanya.

Mengakhiri perbualan, Nurazira memberitahu, beliau bersyukur kerana semua anaknya begitu tabah dengan pemergiannya walid mereka itu.

“Alhamdulillah, anak saya boleh menerimanya,” katanya.

-NFN-

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION