NASIONAL

Jejas ekosistem laut, pukat tunda perlu diharamkan segera

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 28 OGOS: Kerajaan perlu bertindak segera mencari jalan penyelesaian dengan mengharamkan penggunaan pukat tunda yang membawa ancaman terhadap ekosistem laut, sekali gus bakal membawa kepada masalah industri sumber makanan negara.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berktata masyarakat antarabangsa sudah lama membincangkan pengharaman pukat tunda kerana ia menjejaskan ekosistem dan kerosakan habitat ikan.

Menurutnya, Persatuan Pengguna Pulau Pinang juga sudah menyuarakan gesaan yang sama kepada kerajaan sejak 2011, bahkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani juga bersetuju untuk menjalankan kajian terperinci berhubung perkara itu pada tahun 2013.

nelayanDifahamkan, pada awal bulan lalu, Ketua Pengarah Jabatan Perikanan pula menyatakan bahawa pihaknya sudah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menyelia kajian berkenaan pemasalahan terbabit.

“Mengapa perkara ini lewat diselesaikan kementerian kerana kita sedang berhadapan dengan masalah bekalan ikan di perairan yang semakin mengecil dan krisis makanan ekoran daripada kegiatan pukat tunda itu?

“Terdapat beberapa isu utama yang perlu diselesaikan dalam masa terdekat dengan segera bagi memastikan kelangsungan bekalan ikan di negara ini terjamin,” katanya melalui kenyataan media.

Hasil kajian seorang penyelidik di Institut Zoologi London, Dr Alex Rogers, mendapati Amerika Syarikat, Australia, Brazil dan Jerman adalah antara negara yang menyokong pengharaman berkenaan.

pukat tundaSebagai langkah penyelesaian, beliau berkata, penguatkuasaan lebih tegas perlu dilakukan dengan menahan dan mengenakan tindakan terhadap kira-kira 600 vesel nelayan pukat tunda termasuk vesel pukat tunda asing yang menceroboh Zon A dan kawasan perairan khususnya di Sarawak setiap tahun kerana melanggar Akta 317 (Akta Perikanan 1985).

Secara purata, hampir 175,000 tan metrik anak ikan ditangkap dalam setahun oleh nelayan pukat tunda.

Selain itu, kerajaan digesa untuk menguatkuasakan larangan vesel pukat tunda yang menggunakan saiz mata di bawah ukuran 38 milimeter khususnya di Zon B dan Zon C.

“Kita perlu mencontohi negara ASEAN lain yang menetapkan penggunaan baru bersaiz 60 milimeter. Buat masa ini, agak sukar pengharaman dilakukan secara total kerana boleh menjejaskan industri perikanan negara.

“Pendaratan ikan yang disumbangkan pukat tunda merangkumi kira-kira 47.96% daripada 1.47 juta tan metrik setahun,” katanya.

adun kuala nerusBeliau berkata, siasatan perlu dilakukan secara terperinci berkenaan korelasi permintaan terhadap anak ikan dan keperluannya di dalam sektor industri akuakultur.

Katanya, jika hasil pengeluaran industri akuakultur yang digunakan untuk makanan mencecah hampir sejuta tan metrik setahun daripada sumber itu, maka sudah tentu permintaan terhadap anak ikan juga akan tinggi dan secara tidak langsung menyukarkan proses pengharaman terbabit.

“Pengharaman pukat tunda perlu dilakukan secara objektif. Perkara asas yang perlu dititikberatkan adalah bekalan ikan dan krisis makanan di negara ini.

“Ia perlu dikonservasi secara bijak tanpa menjejaskan pendapatannelayan di negara ini. Oleh yang demikian, kajian ini perlu disegerakan tanpa bertangguh memandangkan lebih sedekad ia telah disuarakan oleh pelbagai pihak,” katanya.

-NFN-


Pengarang :