NASIONAL

Kerajaan pusat perlu serius laksana insentif cuti umum

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 4 OGOS: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyambut baik saranan kerajaan pusat berhubung pemberian insentif lumayan kepada pekerja yang bekerja ketika cuti umum, namun menegaskan ia perlu diakukan secara bersungguh-sungguh dan serius.

Timbalan Presidennya, Abdullah Sani Abdul Halim, berkata pemberian insentif berkenaan akan menjadi motivasi kepada pekerja untuk menyemarakkan semangat mereka ketika cuti umum seperti Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata, saranan kerajaan itu adalah merujuk kepada Akta Pekerja 1955 yang hanya memperuntukkan bayaran kepada pekerja yang bekerja lebih masa atau penggantian hari bekerja.

pekerja swasta“Ada dua kumpulan pekerja iaitu kumpulan yang ada perjanjian bersama majikan, yang mana secara automatik dibayar dengan dua atau tiga kali ganda jika bekerja pada cuti umum atau peruntukan kepada kumpulan pekerja yang bekerja lebih masa sahaja.

“Apa yang disarankan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Mutalib itu adalah baik yang sepatutnya dilakukan sejak dahulu lagi, namun bergantung kepada majikan untuk melaksanakannya.

“Saranan yang dibuat itu adalah khusus kepada kumpulan pekerja yang tiada perjanjian bersama dengan majikan,” katanya kepada Selangor Kini.

Justeru, beliau mencadangkan supaya akta berkenaan dipinda jika kerajaan serius untuk memberi kebajikan kepada pekerja yang berkhidmat ketika cuti umum.

Katanya pindaan itu boleh dilakukan pada sesi Dewan Rakyat akan datang jika kerajaan benar-benar ikhlas untuk mengimplimentasikan saranan berkenaan.

abdullah sani 01“Saya berpandangan jika menteri itu serius untuk memberikan kebaikan atau kebajikan kepada pekerja yang bekerja ketika cuti umum, maka Seksyen 60 Akta Kerja 1955 itu perlu dipinda.

“Jika ia dipinda maka kakitangan yang bekerja dapat diraikan dengan dibayar sekurang-kurangnya tiga kali ganda jika mereka bekerja ketika cuti umum,” katanya.

Terdahulu, Ismail menyarankan pekerja yang bekerja pada cuti umum diberi insientif lebih lumayan kerana memberi perkhidmatan terbaik kepada majikan.

Ismail berkata, pengorbanan seperti itu wajar diiktiraf oleh majikan kerana pekerja terpaksa mengorbankan masa istimewa dan penting bersama keluarga tersayang demi tuntutan tugas.

-NFN-


Pengarang :