Selangorkini
SELANGOR

MB: Belum ada cadangan lantik Exco baru, Sultan nasihat majukan negeri

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM 13 OGOS: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan beliau tidak mempunyai sebarang cadangan untuk melantik ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baru bagi menggantikan lima Exco dari PKR dan DAP yang dipecat semalam.

Beliau dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco hari ini berkata DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menasihatinya supaya kekal dalam keadaan sekarang dan menumpukan kepada pembangunan serta kebajikan rakyat.

PC EXCO MB - 13.08.2014 (9)“Saya tiada cadangan untuk melantik barisan Exco baru dan saya telah berbincang dengan DYMM Sultan di mana Baginda menasihati saya supaya terus berada dalam keadaan sekarang untuk menentukan kemantapan kerja negeri supaya pembangunan ditumpukan dan kebajikan rakyat diutamakan,” katanya.

Abdul Khalid berkata pihaknya sudah mengadakan perbincangan bersama ahli Exco bagi membentuk mesyuarat bersama untuk semua stanco atau portfolio berkenaan diuruskan supaya pengurusan dan tatacara negeri dapat dilaksanakan dengan baik.

Sementara itu, ketika mengulas status Penasihat Ekonomi Negeri yang masih disandang Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berkata perkara berkenaan akan dibincang bersama Exco kelak.

MB mesyuaratAbdul Khalid berkata status Ahli Majlis sedia ada juga akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) dan akan diumumkan segera.

“Status Ahli Majlis (kita) akan dibuat pengumuman esok selepas MTES, tetapi buat masa ini kita akan memberikan tumpuan kepada pembangunan negeri dan kelicinan pentadbiran.

“Jika kelicinan pentadbiran tidak memerlukan kita membuat pertukaran, kita tidak akan buat, tetapi jika kita rasa ada pertukaran kita akan lakukan,” katanya lagi.

EZY


Pengarang :