Selangorkini
SELANGOR

MB: “Hormati titah Sultan & hindari kenyataan negatif”

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 OGOS: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akur dengan titah DYMM Sultan Selangor yang meminta semua pihak menunggu kepulangan Baginda bagi menyelesaikan kemelut kepimpinan Kerajaan Negeri yang dihadapi kini.

Dalam satu kenyataannya berkata, beliau sendiri menghormati nasihat Tuanku Sultan berkenaan.

Sultan-Selangor-Sultan-Sharafuddin-Idris-Shah1“Saya menghormati dan akur nasihat DYMM Sultan Selangor supaya saya menghadap selepas baginda kembali ke tanah air.

“Sehingga itu, saya dan barisan EXCO akan menjalankan tugas seperti biasa bagi menjamin pentadbiran serta pengurusan negeri berjalan lancar dan baik.

“Saya menyeru semua pihak terutama pemimpin politik menghormati titah DYMM Tuanku Sultan dan menghindarkan diri dari membuat kenyataan yang boleh mengundang tanggapan negatif terhadap DYMM Sultan Selangor,” kata Abdul Khalid.

Sebelum ini, Istana Selangor menyatakan bahawa Abdul Khalid telah membuat permohonan untuk menghadap Sultan Selangor di luar negara.

Bagaimanapun Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani berkata Baginda Sultan menitahkan supaya Abdul Khalid menunggu di Selangor sehingga baginda pulang.

EZY


Pengarang :