Selangorkini
SELANGOR

MB rasmi pecah tanah jambatan ketiga Klang hari ini

Oleh: AFIX REDZUAN

KLANG, 6 OGOS: Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Jambatan Ketiga Sungai Klang akan disempurnakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di tapak cadangan pembinaan berhampiran Jalan Sungai Bertih, di sini, hari ini.

Majlis pecah tanah itu menandakan pembinaan jambatan ketiga bakal dimulakan, sekali gus memenuhi tanggungjawab menyiapkan projek yang gagal dilaksanakan Barisan Nasional selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-12 bagi memenuhi keperluan rakyat Selangor.

Melalui proses tender terbuka, syarikat Cergas Murni Sdn Bhd memenangi tender projek berkenaan selepas melepasi syarat penilaian teknikal dengan tawaran harga berjumlah RM199,156,069.36.

pemenang rekabentuk jambatan klang 01Sebelum ini, Cergas Murni sudah melaksanakan proses awal seperti kerja ukur, penyediaan insurans dan bon pelaksanaan.

Proses tender terbuka dibuka kepada umum pada 19 Mac hingga 22 April lalu dan 23 syarikat kontraktor mengambil bahagian.

Surat setuju membina projek jambatan ketiga Klang diserahkan secara rasmi kepada Cergas Murni, pada 26 Jun lalu.

Kerja pembinaan jambatan ketiga Klang itu akan mengambil masa selama 104 minggu dan dijangka siap pada Julai 2016.

jambatan ketigaReka bentuk jambatan terbabit bercirikan kapal layar dan keris yang dihasilkan syarikat Vast Consultants Sdn Bhd selepas memenangi pertandingan yang dianjurkan Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor, tahun lalu.

Jambatan ketiga Klang sepanjang 2.5 kilometer akan bermula selepas persimpangan Sungai Udang/Teluk Pulai dan berakhir di persimpangan Jalan Goh Hock Huat.

-NFN-


Pengarang :