Selangorkini
SELANGOR

Paulo Rangel tandatangani kontrak baru hingga Nov 2016

SHAH ALAM 6 OGOS: Penyerang Selangor, Paulo Rangel menandatangani kontrak lanjutan dengan pasukan Selangor, sekaligus memastikan pemenang kasut emas Liga Super 2014 itu kekal sehingga November 2016.

Majlis menandatangani kontrak Rangel di hadapan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Mokhtar Ahmad turut disaksikan Bendahari FAS Datuk S Sivasundaram; Setiausaha Agung FAS, Rosman Mohd Ibrahim dan ejen beliau Valdir Sousa.

FAS pauloMokhtar jelas lega dapat mengikat khidmat penyerang kelahiran Brazil itu.

Paulo (Rangel) merupakan aset penting pasukan musim ini. Sudah pasti kita mencuba yang terbaik untuk memastikan beliau kekal di Gergasi Merah.

Nyata kedua-dua pihak mempunyai kemahuan yang sama.

“Saya sangat gembira beliau setuju dengan kontrak lanjutan yang ditawarkan. Semoga beliau terus cemerlang dan pastinya fokus terdekat adalah saingan Piala Malaysia bermula minggu depan,” Mokhtar dipetik laman FASELANGOR.MY.

Rangel, 29, menyertai Selangor tahun ini selepas beraksi separuh musim bersama Perak tahun lalu, telah beraksi 27 daripada 30 perlawanan Liga Super, Piala AFC dan Piala FA untuk Merah Kuning sambil menjaringkan 24 gol.

Selepas majlis berlangsung, Rangel turut melahirkan kegembiraan beliau untuk terus menyarung jersi Selangor.

“Sejak pertama kali saya datang ke sini awal musim ini, hati saya untuk Selangor. Ada pasukan yang melahirkan hasrat untuk mendapatkan khidmat saya tetapi Selangor merupakan pilihan utama,” kata Rangel.

Ketiadaan Rangel yang digantung dua perlawanan selepas menerima kad merah ketika menentang Terengganu, Jun lalu, sedikit sebanyak menjejaskan cabaran Selangor di peringkat terakhir saingan Liga Super, hakikat yang mahu segera dilupakannya.

Cukuplah kekecewaan gagal meraih Liga Super di saat-saat terakhir musim ini. Saya dan rakan-rakan akan berusaha yang terbaik untuk bangkit meraih kejayaan, bermula dengan Piala Malaysia,” tambah beliau lagi.

EZY


Pengarang :