SELANGOR

RM96 juta diperuntukkan kepada SAR, SJKT & SJKC sejak 2008

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KLANG, 25 OGOS: Kerajaan Selangor sudah membelanjakan sejumlah RM96 juta bagi peruntukan sumbangan kepada sekolah agama rakyat, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil, SJK Cina dan sekolah persendirian Cina sejak 2008.

Daripada jumlah itu sebanyak RM36 juta disumbangkan kepada 108 sekolah SJK Cina dan empat buah sekolah persendirian Cina.

Sekolah Tamil Midland 03Manakala 97 buah Sekolah SJK Tamil pula menerima sebanyak RM24 juta dan RM36 juta lagi disumbangkan kepada 250 buah Sekolah Agama Rakyat.

Exco Pendidikan Kerajaan Selangor, Dr Halimah Ali berkata, peruntukan ini diadakan secara tetap setiap tahun dan bukan apabila menjelang pilihan raya seperti mana amalan Barisan Nasional (BN).

“Kita faham dalam perlembagaan, ibu bapa diperuntukkan hak untuk menghantar anak mereka ke sekolah yang mereka pilih samada Tiong Hua, Tamil atau pun Sekolah Agama Rakyat.

“Kerajaan Negeri Selangor meletakkan satu prinsip di mana kita mengiktirafkan kewujudan dan keperluan orang Tiong Hua memerlukan sekolah SJKC.

“Kerajaan Selangor membuat satu keputusan memberi sumbangan kepada sekolah-sekolah ini yang sebelumnya tidak diambil kira, tidak dapat peruntukkan khas Kementerian Pendidikan Malaysia,” kata Dr Halimah.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyampaian Bantuan Kewangan Kepada Sekolah-sekolah Persendirian Cina Negeri Selangor 2014 yang diadakan di Sekolah Menengah Chung Hua di sini, malam tadi.

Bantuan kewangan berjumlah RM2 juta untuk empat buah sekolah persendirian itu disampaikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dihadapan kira-kira 1,000 bekas pelajar sekolah berkenaan.

Selain Abdul Khalid dan Dr Halimah, majlis yang penuh meriah itu juga dihadiri Exco Belia, Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi.

Sejak 2008 setiap tahun Kerajaan Negeri memperuntukkan masing-masing sebanyak RM4 juta untuk SJK Tamil dan SJK Cina, RM6 juta untuk Sekolah Agama Rakyat dan RM2 juta untuk sekolah persendirian Cina.

EZY


Pengarang :