Selangorkini
SELANGOR

Abdul Khalid serah kepada Istana isu MB baru

Oleh: AFEEQA AFEERA

SEPANG, 8 SEPT: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor baru yang kini dalam pertimbangan Baginda.

Katanya beliau diminta untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung hal itu dan dinasihatkan supaya memberi tumpuan kepada pentadbiran negeri.

SULTAN SELANGOR“Saya diminta supaya tidak buat apa-apa kenyataan dalam hal ini sebab saya dinasihatkan adalah lebih baik sekiranya Menteri Besar memberikan tumpuan kepada pentadbiran negeri daripada melibatkan diri dengan perbincangan jawatan Menteri Besar baru,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Pemsea Network of Local Governments Forum 2014 di Avani Sepang Gold Coast Resort, dekat sini pagi tadi.

Kenyataan Abdul Khalid itu adalah susulan dakwaan bahawa PKR tidak memahami Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri kerana hanya mencadangkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar meskipun diarahkan pihak Istana untuk menghantar lebih daripada dua nama.

Dalam pada itu, Abdul Khalid turut enggan memberi sebarang komen ketika ditanya mengenai kenyataan Istana hari ini berhubung isu DAP dan PKR yang tidak menghormati Institusi Raja kerana menghantar satu nama sahaja.

“Saya tak boleh komen kerana itu adalah pandangan dan semua pandangan pada saya mengambil kira tentang adab dan adat negeri,” katanya lagi.

Awal pagi tadi, dalam satu surat yang ditandatangani Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani memaklumkan kekecewaan Baginda Sultan atas tindakan DAP dan PKR terhadap titah Baginda Sultan pada 27 Ogos lalu.

EZY


Pengarang :