Selangorkini
SELANGOR

Istana terima nama calon MB, kuasa pada Sultan

SHAH ALAM 8 SEPT: Setiausaha Sulit DYMM Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata Baginda Sultan sudah menerima senarai calon Menteri Besar sepertimana titah Sultan Selangor dalam surat bertarikh 27 Ogos.

Katanya, setakat ini hanya PAS yang mematuhi arahan Baginda Sultan dengan menyenaraikan lebih daripada tiga nama untuk dipertimbangkan.

SULTAN SELANGOR“Titah Sultan Selangor bagi mengemukakan senarai lebih dari dua orang calon Menteri Besar adalah satu amalan/konvesi yang dilaksanakan Sultan Selangor.

“Ia adalah bagi membolehkan pilihan bakal Menteri Besar dengan melihat bukan sahaja sokongan majoriti Ahli Dewan Negeri malah dari segi kemahiran, pengalaman, integriti dan kebolehan seseorang Adun,” kata Mohammad Munir dalam kenyataan media.

Mohammad Munir berkata ciri-ciri itu penting bagi menjamin perjalanan negeri Selangor berjalan baik dan lancar demi keharmonian rakyat.

Katanya, Sultan Selangor berkeyakinan terdapat ramai calon di dalam Pakatan Rakyat yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan tinggi yang disebutkan bagi menerajui Kerajaan Selangor.

“Dengan penerimaan calon-calon yang diterima ini maka DYMM Sultan Selangor akan meneliti senarai calon-calon berkenaan dan akan mengambil kira segala aspek di dalal menilai setiap calon sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Memandangkan kuasa melantik Menteri Besar terletak pada budi bicara DYMM Sultan Selangor, maka Baginda juga akan meneliti nama-nama Adun lain dari Pakatan Rakyat yang berkelayakan pada fikiran Sultan Selangor mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Negeri,” katanya.

EZY


Pengarang :