Selangorkini
SELANGOR

Kerja pembersihan Sungai Klang 56KM bermula

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 SEPT: Kerja pembersihan Sungai Klang sepanjang 56 kilometer dari Kampung Pasir, Petaling Jaya sehingga muara sungai berhampiran Kelab Kapal Layar Diraja Selangor Klang dilaksanakan ahli Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Hebat Abadi Sdn Bhd.

Pengurus Besar Hebat Abadi, Ramli Mohd Tahir berkata, kawasan paling kritikal dengan sisa sampah terapung terbanyak adalah sepanjang 10 kilometer dari Pengkalan Batu, Klang sehingga Bandar Sultan Sulaiman, Klang.

IMG_5739 (1000x751)Ini kerana, Sungai Klang melalui beberapa buah kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Klang (21km), Shah Alam (20km), Subang Jaya (9km) dan Petaling Jaya (6km).

“Kita sedang giat membersihkan sisa-sisa sampah setiap hari di sepanjang sungai dan tebing sungai.

“Walau bagaimanapun tugasan pembersihan ini tiada penghujung jika masalah ini tidak diselesaikan di punca pencemaran, terutamanya sisa sampah dari premis domestik, komersial, perindustrian, tapak pembinaan dan pengairan,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, bahagian sungai yang terdapat sisa dan sampah adalah di pengairan keluar tali air dan tebing sungai berhampiran premis perindustrian.

Antara sisa sampah terapung atas permukaan sungai adalah bekas polistirena, bahan plastik, getah, kertas, kayu, kepingan logam ringan dan bahan pembinaan seberat 50 tan sehari yang perlu dikumpulkan dan dihantar ke tapak pelupusan di Jeram.

EZY


Pengarang :