Selangorkini
SELANGOR

MBPJ anjur Pesta Tanglung Peringkat Selangor 13 Sept

Oleh: Asri Sapfie

PETALING JAYA, 4 SEPT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan kerjasama Tourism Selangor serta Chempaka Buddhist Lodge akan menganjurkan Pesta Tanglung secara besar-besaran peringkat Selangor sempena Perayaan Kuih Bulan pada 13 September (Sabtu) ini.

Ahli Majlis MBPJ Zon 6, Sia Siew Chin, berkata pesta yang bakal disambut ini mempunyai keunikannya tersendiri di samping memupuk nilai positif dalam masyarakat berbilang bangsa.

Sidang media Pesta Tanglung di MBPJ 04.09.2014 (9)“Pesta ini diberikan nilai lebih tinggi iaitu ia bukan lagi penyatuan ahli keluarga tapi merupakan penyatuan antara kaum,” kata beliau.

Tambah beliau lagi, kemakmuran negara bergantung kepada eratnya hubungan antara kaum yang harmoni dan sejahtera.

Katanya ini menyokong usaha MBPJ yang sentiasa menggalakkan aktiviti yang melibatkan penglibatan semua kaum.

Perayaan Kuih Bulan membawa maksud berakhirnya musim menuai bagi masyarakat Cina dan hari berkumpul seluruh ahli keluarga disambut pada hari ke-15 bulan kelapan mengikut kalender Cina.

Ia merupakan salah satu perayaan penting bagi masyarakat Cina yang disambut dengan perarakan Tanglung dan hidangan kuih Bulan.

Tourism Selangor yang merupakan salah satu penganjur terbesar bagi pesta ini mensasarkan kehadiran pelancong luar yang ramai kerana ini merupakan kali pertama dianjurkan bagi peringkat Selangor.

Pelbagai promosi bagi menarik minat pelancong asing untuk turut berkunjung ke pesta ini.

Acara bermula seawal 10 pagi dan dijangka berakhir pada 11 malam ini menyajikan pelbagai aktiviti menarik kepada para pengunjung.

Antaranya, pertandingan melukis dan mewarna bagi kanak-kanak, pertandingan mereka bentuk tanglung, dan juga persembahan pentas seperti tarian kebudayaan, silap mata, live band dan sebagainya.

Antara hadiah menarik yang bakal menanti pemenang di pesta ini antaranya LED TV bersaiz 32 inci, barangan elektrik beserta hamper.

EZY


Pengarang :