Selangorkini
SELANGOR

MBPJ : Projek jalan sehala pemangkin Bandaraya Dinamik

Oleh Naeem Raffi

SHAH ALAM, 10 SEPT: Sejajar wawasan menjadikan Petaling Jaya bandaraya dinamik, Datuk Bandar Datin Paduka Alinah Ahmad dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membentangkan pelan strategik menjadikan lalulintas lebih mudah digunakan, selamat dan lancar.

Slide2 -Menurut Sekretariat Media Unit Perhubungan Awam MPBJ, beberapa kajian yang dijalankan telah mengenalpasti punca kesesakan lalulintas di lokasi tumpuan penting seperti Seksyen 52, Mutiara Damansara dan Dataran Sunway, serta langkah yang perlu diambil seperti Projek Jalan Sehala melibatkan Jalan Utara, Jalan Timur, Jalan Barat, Jalan Sultan dan Jalan Yong Shook Lin.

“Projek tersebut melibatkan dua fasa yang mana fasa 1 telah bermula pada Julai hingga September 2014.

“Sistem jalan sehala ini akan dilaksanakan secara percubaan selama 3 bulan bermula 12 Oktober 2014 sehingga 12 Januari 2015,” jelasnya.

Fasa 1 melibatkan kerja pembukaan pembahagi jalan di 8 lokasi, penebangan dan pengalihan pokok, pemasangan papan tanda isyarat sementara serta kerja mengecat jalan.

Slide7 - Fasa 2 melibatkan kerja penurapan jalan, penyediaan laluan pejalan kaki dan laluan basikal, pemasangan lampu jalan, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan bumbung pejalan kaki, pemasangan papan tunjuk isyarat dan tanda arah serta lagi kerja mengecat jalan.

“Pelaksanaan jalan sehala ini juga akan melibatkan penanaman pokok baru sebanyak 4970 batang pokok dari spesis pokok Bungor langkawi sebanyak 380 batang, pokok kelat paya sebanyak 3690 batang dan pokok menjalar sebanyak 900 batang, Majlis berharap supaya sistem ini juga dapat menjadikan masa perjalanan lalulintas lebih lancar di sepanjang lingkaran tersebut,” katanya.

Kos projek yang terlibat berjumlah RM23.8 juta dan akan dibiayai menggunakan peruntukan Akaun Tabung Amanah.

MBPJ menjangkakan perkhidmatan pengangkutan awam di sepanjang jalan lingkaran ini akan dapat menambahbaik waktu perjalanan serta tahap kecekapan perkhidmatannya.

Untuk sebarang maklumat dan keterangan lanjut orang ramai boleh melayari laman web rasmi Majlis www.mbpj.gov.my atau menghubungi Jabatan Kejuruteraan Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Tingkat 13, Menara MBPJ, Jalan Tengah, 46200 Petaling Jaya di talian 03-7958 4221 atau emel ; [email protected]

HM


Pengarang :