SELANGOR

Pakar: PR pecah jika Adun Hulu Klang, Morib dilantik Exco

Oleh NAZLI IBRAHIM

Profesor Datuk Mohamad Abu Bakar berpendapat Pakatan Rakyat kembali berantakan sekiranya dua Adun PAS yang melanggar ketetapan parti dan bersolidariti dengan rakan-rakan PKR dan DAP dilantik Exco.

ProfMohdAbuBakar1Pensyarah Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya itu berkata PR sewajarnya mengelak mencetuskan pergeseran baru yang hanya akan melambat-lambatkan proses pemulihan krisis perebutan jawatan Menteri Besar.

“Ini akan menimbulkan pergeseran sebab mereka yang menentang PAS juga diserap. Pertama, kita sedar tindak tanduk mereka menimbulkan kemarahan kepada PAS khasnya Datuk Seri Hadi Awang sendiri. Sekiranya mereka ini diserap jadi Exco, ini tamparan kepada PAS dan keretakkan dalaman Pakatan Rakyat (PR) jadi lebih jelas,” tegas beliau.

Di muktamar PAS baru-baru ini, Presiden Abdul Hadi Awang membidas Adun Hulu Klang, Saari Sungib dan Adun Morib, Hasnul Baharuddin hingga menggelar mereka ‘barua’ kerana menandatangani akuan bersumpah menyokong calon Langkah Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sejurus perlantikan Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali sebagai Menteri Besar baharu, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin menggesa kuota PAS dikaji semula kerana tidak menyokong Dr Wan Azizah.

Persuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad bangkit mempertahankan kuota empat anggota Exco yang diperuntukkan kepada partinya, memandangkan Parti Islam majoriti Melayu itu mempunyai jumlah kerusi yang mengatasi PKR dan menyamai kerusi milik DAP.

“Krisis ini sudah berlarutan agak lama, sebarang usaha melaga-lagakan tak menjadi sebab orang dah bosan.

“Rakyat hanya ingin lihat pentadbiran Selangor kembali pulih, berjalan baik demi rakyat sebab rakyat lebih mementingkan keselesaan, kelancaran kerja, perkhidmatan umum dan inilah ditekankan, bukan soal idealogi, bukan soal kepartian tetapi mereka harus mengurus supaya tidak menjadikan krisis Selangor berpanjangan,” jelas Mohamad.

Pendapat itu turut dikongsi Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad. Beliau dilaporkan berkata pemilihan dua Adun PAS itu akan memburukkan hubungan antara parti komponen, selain menggambarkan mereka dipilih atas dasar sokongan dan bukan kemampuan.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali mengesahkan parti itu telah menyerahkan senarai nama calon exco PAS kepada Menteri Besar Mohamed Azmin Ali untuk dipersembahkan ke bawah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, hari ini.

Perkenan Tuanku dan jemaah Exco baharu dijangka diumum esok.

HM


Pengarang :