Selangorkini
SELANGOR

PKR mohon ampun pada Sultan Selangor

SHAH ALAM 10 SEPT: PKR memohon ampun kepada DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana membuat Baginda Sultan dukacita atas tindakan hanya menamakan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata partinya dan Pakatan Rakyat (PR) menghormati prinsip keluhuran perlembagaan serta menjunjung sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

Sultan“Pihak kami akan terus merafak sembah dan memohon keampunan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan seandainya keputusan kami mematuhi Undang-undang Tubuh Negeri Selangor dan amalan (convention) sejak 1957 menyebabkan terguris perasaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan,” kata Anwar dalam satu kenyataan media.

Menurut Anwar, kenyataan Datuk Seri Najib Razak semalam pada Ahad yang mengatakan PKR gagal memahami Undang-undang Tubuh Negeri Selangor adalah keterlaluan.

“Najib sudah bersama dengan pimpinan Umno sejak 1983 dan 1993 tatkala menyokong pindaan Perlembagaan bagi menjelaskan bidang kuasa Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong selaras dengan prinsip raja berperlembagaan.

“Selaku perdana menteri, Najib sewajarnya jujur dengan pendirian parti beliau dan kerajaan Barisan Nasional dan tidak menyerang PKR kerana mematuhi amalan yang sama,” katanya.

Menurut Anwar, Najib turut mengetahui dalam sejarah pemerintahan Umno sejak negara merdeka pada 1957, parti itu dan Barisan Nasional (BN) hanya mengemukakan satu nama Adun atau ahli Parlimen untuk jawatan ketua menteri, menteri besar, atau perdana menteri.

“PKR mengulangi pendirian untuk menjunjung kedaulatan Raja-raja Melayu, dan institusi raja berperlembagaan.

“Ini juga ditegaskan dalam warkah-warkah Dr Wan Azizah, presiden PKR kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor,” katanya.

 


Pengarang :