Selangorkini
NASIONAL

SAMM cadang Kerajaan Pusat pinda Levi, jana pendapatan RM300 juta setahun

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 6 SEPT: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mencadangkan agar Kerajaan Pusat melaksanakan Pindaan Perintah Levi terakhir dipinda pada 1983 yang mampu meningkatkan pendapatan negara sehingga RM300 juta setahun.

Pengasas SAMM, Badrul Hisham Shaharin, berkata pindaan itu akan memberikan impak letusan ekonomi khususnya di kawasan selatan Semenanjung Malaysia.

SAMMBadrul Hisham mengemukakan cadangan demikian ketika bertemu Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan bagi memberikan cadangan dalam Belanjawan 2015.

“SAMM selama ini dikenali dengan pelbagai konotasi negatif tetapi kami kelompok anak muda dalam SAMM juga menyusun anak muda dalam menyatakan pandangan radikal yang praktikal dalam pentadbiran negara.

“SAMM mengumpulkan pemikiran anak muda akar umbi membincangkan pandangan dan peranan anak muda berkaitan dasar fiskal negara, ekonomi dan urus tadbir kerajaan pasca Belanjawan 2015,” kata Badrul Hisham sejurus selesai mengadakan pertemuan terbabit.

Jelas Badrul Hisham, set cadangan ini adalah hasil Bengkel Pengurusan Ekonomi 2012 anjuran SAMM dan pernah diajukan kepada beberapa ahli parlimen termasuk dari Pakatan Rakyat.

“Namun kemungkinan suara anak muda biasa seperti SAMM ini tidak dilihat penting, maka seolah-olah tidak diangkat.

“Apabila melihat ruang dimana kerajaan melalui Kementerian Kewangan mengalukan pandangan dan pendapat semua pihak dalam menyediakan draf Belanjawan 2015, maka SAMM cuba mengajukan beberapa pandangan,” kata Badrul Hisham lagi.

EZY


Pengarang :