Selangorkini
NASIONAL

SAMM: Kemelut politik Selangor tenggelamkan kempen bantah pelaksanaan GST

Oleh NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 5 SEPT: Pemimpin Pakatan Rakyat perlu segera menyelesaikan kemelut politik di Selangor berikutan kempen bantahan terhadap Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) terjejas.

Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin, berkata kempen menolak GST ketika ini semakin tenggelam walaupun kira-kira enam bulan sahaja sebelum dilaksanakan.

“GST umpama mimpi ngeri kepada rakyat tetapi pada kaca mata orang ramai, pemimpin Pakatan yang diharap-harapkan sibuk bertempur sesama sendiri dalam isu Selangor,” katanya.

sammBadrul Hisham bimbang rakyat hilang kepercayaan terhadap Pakatan untuk membela nasib mereka berikutan kemelut itu sudah berlarutan sejak lebih tiga bulan lalu.

“Kemelut ini kena cepat selesaikan sebelum rakyat putus harap dan kecewa,” katanya kepada Selangor Kini.

Menyentuh isu sama, bekas Pengarah Bank Negara, Dr Rosli Yaakob berkata, tiada tanda kerajaan mula mengamalkan perbelanjaan berhemah bagi mengurangkan hutang negara.

“Jika berterusan, hutang negara akan membelon macam Sepanyol. Walaupun GST dilaksanakan kerana GST bukan penyelesaian sebaliknya pengurusan kewangan yang cekap saja boleh menyelamatkan negara,” katanya.

– FZL


Pengarang :