Selangorkini
NASIONAL

Kepimpinan bertenaga perlu untuk maju, Kata Zeti

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama): Kepimpinan yang bertenaga tinggi dan berkekalan merupakan suatu keperluan yang sangat penting untuk masa hadapan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Beliau berkata syarat itu kini menjadi lebih penting dalam persekitaran semasa dan akan datang berikutan persekitaran ekonomi dan kewangan global yang telah berubah sejak dua dekad lepas yang menjadi saling berkaitan, kompleks dan kompetitif.

Beliau berkata dunia juga menjadi semakin tidak stabil dan tidak boleh diramalkan, dengan kejutan dan krisis berterusan yang memerlukan pemimpin memiliki pengurusan yang berkesan.

“Cabaran ini merentas perbadanan, negara dan industri, institusi dan bidang kuasa,” katanya pada Sidang Kemuncak Kepimpinan Tenaga Asia Pusat Antarabangsa bagi Kepimpinan dan Kewangan (ICLIF) 2014 di sini hari ini.

Beliau berkata untuk kelangsungan hidup dan berjaya, cabaran ini menuntut generasi baharu kepimpinan yang berfikiran ke hadapan dan mampu merapatkan pasukan, organisasi dan negara ke kejayaan baharu, masa depan baharu dan berkeupayaan untuk mengekalkan prestasi walaupun dalam persekitaran yang sangat mencabar.

HM


Pengarang :