Selangorkini
SELANGOR

DAP: hentikan tohmahan terhadap penganjur Oktoberfest

SHAH ALAM, 8 OKT: DAP mengingatkan semua parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menghentam pesta arak Oktoberfest supaya menghentikan tohmahan terhadap penganjuran acara itu.

Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua berkata pesta itu tidak sepatutnya dijadikan titik pergeseran antara agama kerana Oktoberfest merupakan acara swasta yang diraikan oleh penganut bukan beragama Islam, dan tidak sepatutnya melibatkan penganut beragama Islam.

tony pua Forum Air“DAP Selangor ingin menetapkan bahawa asal program “Oktoberfest” tidak melibatkan peserta beragama Islam, ia tidak sepatutnya membangkitkan sebarang perasaan sensitif daripada rakyat beragama Islam.

“Oktoberfest sebenarnya tidak patut diserang dengan pelbagai tohmahan yang buruk dan melampau kerana ianya hanya merupakan satu acara kecil yang digunakan oleh syarikat-syarikat arak untuk mempromosikan minuman mereka. Acara ini telah berlangsung selama 5 tahun berturut-turut tanpa sebarang kesan negatif kepada masyarakat Malaysia di mana-mana tempat,” jelas Tony.

DAP memohon semua pihak supaya tidak melatah dan mengambil pendirian berhubung isu ini secara tenang dan rasional.

“Masyarakat bukan Islam di Malaysia selalu menyambut hari kebesaran, sama ada harijadi atau hari raya, upacara perkahwinan atau kesyukuran dengan pelbagai jenis minuman yang berkandungan arak. Ia merupakan perkara kebiasaan dan bukannya kejadian yang memeranjatkan. Ia juga merupakan hak mereka yang dilindungi bawah kuasa undang-undang,” katanya.

DAP juga mengingatkan peserta yang bakal menyertai sambutan Oktoberfest supaya mematuhi undang-undang yang menjaga keselamatan orang-ramai, minum secara bertanggungjawab dan mengelak dari memandu dalam keadaan mabuk.

HM


Pengarang :