Kebakaran di Uptown, MBSA perlu tegas dan saman kecuaian pengurusan premis | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang


Kebakaran di Uptown, MBSA perlu tegas dan saman kecuaian pengurusan premis

Oleh: Rodziah Ismail

Kebakaran yang telah memusnahkan 187 gerai perniagaan (daripada 442 keseluruhannya) di pusat perniagaan Uptown Seksyen 24 Shah Alam semalam adalah sesuatu yang telah dijangkakan jika langkah-langkah pembaikan tidak dilaksanakan.

Perkara tersebut telah saya nyatakan sejak lama dahulu. Ia boleh berlaku jika langkah-langkah keselamatan pelbagai aspek diabaikan.


_MG_8669Pusat perniagaan Uptown Seksyen 24 (UpS24) beroperasi hanya di sebelah malam sehingga kira-kira pada jam 2 pagi keesokan harinya.

Pada asalnya, ia adalah sebuah projek UPEN Usahawan dengan tapak tanah yang dimiliki oleh PKNS. UpS24 diuruskan sebuah badan swasta, Dataran Usahawan.

Isu memberi peluang-peluang perniagaan kepada rakyat, perlulah dilaksanakan secara adil dan saksama.

Perniagaan kecil-kecilan seperti di UpS24 ini seharusnya memberi peluang kepada para usahawan yang baru atau golongan usahawan yang sudah memulai perniagaan mereka secara kecil-kecilan.

Ia sewajarnya tidak ditawarkan kepada usahawan yang sudah maju dan berupaya membina kegiatan perniagaannya di tempat yang lebih sesuai dengan tahap perniagaannya.

Terdapat juga aduan daripada beberapa peniaga bahawa penguatkuasaan tidak dilaksanakan, terhadap pemilik tapak yang tidak berniaga tetapi telah menyewakan semula tapak kepada orang lain.

Peniaga palsu tersebut telah menawarkan sewaan yang lebih tinggi daripada RM300 yang dikenakan oleh pihak pengurusan UpS24.

Ia menafikan hak para peniaga yang mempunyai perniagaan sebenar untuk mendapatkan tapak perniagaan.

Bahkan, para penyewa peniaga palsu kemudiannya pula dibenarkan mereka bentuk gerai masing-masing tanpa kawalan, penyeliaan, kelulusan dan pemantauan daripada sudut keselamatan, bekalan elektrik, pengudaraan dan lain-lain spesifikasi yang wajib.

Rekabentuk dan struktur gerai perniagaan kadangkala boleh mencecah sehingga RM70 ribu.

Punca kebakaran perlulah disiasat sehingga suatu kejelasan tentangnya diperoleh.

Jika didapati unsur-unsur kecuaian oleh pihak pengurusan yang telah mengoperasikan UpS24, tidak mengikut spesifikasi PBT dan badan berwajib lainnya.

Ia sebagai sebuah tapak perniagaan, maka langkah-langkah menamatkan operasi dan pengurusan Dataran Usahawan adalah suatu kewajaran, bahkan boleh didenda mengikut Akta dan peraturan yang ada serta didakwa di mahkamah.

Dato’ Menteri Besar Selangor telah mengumumkan bantuan segera dari Kerajaan Negeri Selangor untuk menawarkan RM5 ribu skim mikrokredit MIMBAR kepada setiap peniaga yang terlibat.

Beliau juga telah mendapat persetujuan pihak PKNS menerusi dasar CSRnya untuk PKNS memberi “immediate relief” sebanyak RM500 kepada setiap mangsa kebakaran UpS24.

Kerajaan Negeri Selangor juga akan menyediakan tanah yang akan diturap di sebelah tapak UpS24 sebagai kawasan perniagaan sementara untuk gerai-gerai yang telah musnah.
Saya ingin mengulangi pengujaran saya sebelum ini dengan beberapa pihak bahawa:

Ø Pembangunan fizikal dan infrastruktur di Shah Alam memerlukan suatu pembangunan yang setara dengan imejnya sebagai sebuah bandaraya.

Ø Usaha-usaha untuk membangunkan usahawan perlulah lebih telus tanpa memberi peluang peraih atau orang tengah wujud untuk mendapat keuntungan yang sama sekali tidak wajar, terutamanya dalam penawaran tapak perniagaan.

Ø Segala spesifikasi rekabentuk bangunan dan pendawaian yang selamat mesti diutamakan kerana ia melibatkan keselamatan dan nyawa manusia. Aspek-aspek lain seperti kebersihan, pemeliharaan alam sekitar, kondisi yang mesra pelanggan dan lain-lain adalah juga isu-isu yang perlu dilaksanakan pada tahap yang dikehendaki.

Ø Ciri-ciri badan pengurusan tapak-tapak perniagaan yang cekap, profesional, telus dan prihatin adalah juga keutamaan yang mesti dipenuhi tanpa mengenepikan aspek kebajikan para peniaga.

Saya yakin bahawa UpS24, Shah Alam akan menjadi pusat tumpuan yang lebih meriah dan selamat untuk dikunjungi oleh semua lapisan masyarakat tempatan dan daripada luar Shah Alam, sekiranya wujud kesedaran dan kesungguhan untuk memenuhi setiap ketetapan, prosedur dan sistem pelaksanaan sebagai sebuah tapak perniagaan yang mesra peniaga, pengunjung dan alam sekitar.

* Rodziah Ismail adalah ADUN Batu 3

 

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION