Selangorkini
SELANGOR

Pelantikan 23 Ahli Majlis baru diluluskan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 16 OKT: Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor meluluskan 23 pelantikan baru Ahli Majlis dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi mengisi 55 kekosongan kerusi seluruh Selangor.

Pelantikan itu membabitkan dua kerusi bagi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

Pelantikan baru itu turut membabitkan tiga bagi Majlis Perbandaran Klang (MPK), satu bagi Majlis Perbandaran Sepang (MPSp), dan empat bagi Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

sumpah ahli majlis baruExco Kerajaan Tempatan, Ean Yong Hian Wah berkata, baki 32 lagi kekosongan akan diisi sebaik sahaja Kerajaan Negeri menerima nama daripada PKR, DAP dan PAS untuk mengisi baki kouta masing-masing.

“Kerajaan Negeri meluluskan 23 orang Ahli Majlis. Kekosongan di bawah kuota PKR adalah 48. Jadi, kita isi 23, manakala 25 lagi kerana masalah dokumentasi tak lengkap seperti tidak ada sijil yang diminta dan sebagainya.

“Kalau mereka boleh serahkan sijil dengan cepat, kita boleh luluskan dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri dalam masa terdekat ini,” kata Ean Yong dalam sidang media di pejabat beliau di tingkat 15, Bangunan Setiusaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, hari ini.

Katanya, kelewatan perlantikan Ahli Majlis baru mampu memberi kesan terhadap mutu perkhidmatan Kerajaan Negeri kepada rakyat Selangor.

eanSelain PKR yang mempunyai baki kouta 25 kerusi yang perlu diisi, PAS turut memiliki baki kekosongan untuk dua kerusi dan lima kerusi bagi DAP.

Beliau berkata, pelantikan 23 Ahli Majlis baru itu akan berkuatkuasa sehingga tahun hadapan berikutan permintaan PKR sendiri yang memendekkan tempoh kepada hanya setahun bagi setiap penggal berbanding PAS dan DAP selama dua penggal.

Ean Yong juga berharap Ahli Majlis yang baru dilantik itu mampu memikul tanggungjawab dan amanah untuk memberi perkhidmatan yang lebih berkesan kepada rakyat Selangor.

-NFN-


Pengarang :