Selangorkini
SELANGOR

Khalid: Iklan Oktoberfest palsu, hasil kerja ubahsuai

Oleh: HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad mendakwa iklan Oktoberfest yang dipapar di beberapa kawasan di Lembah Klang adalah palsu dan hasil kerja ubahsuai Photoshop.

Beliau berkata, segala iklan dipasang juga kerja dirancang pihak tertentu yang tidak mendapat kelulusan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Khalid-Samad edit“Iklan billboard sebenarnya tiada, Kononnya ada di Shah Alam sebenarnya tiada. Ia adalah hasil kerja ubahsuai Photoshop pihak tertentu.

“Ini kerana bila kita rujuk kepada MBSA, memang ia (MBSA) tidak meluluskan,” katanya ketika ditemui di ruang legar Parlimen hari ini.

Meskipun begitu, tambah Khalid, program itu tidak seharusnya dihalang sekiranya diadakan di tempat yang sesuai dan tidak membabitkan kehadiran orang Islam.

“Islam tidak menghalang orang bukan Islam untuk memakan atau meminum bahan makanan yang tidak diharamkan oleh agama mereka tetapi biarlah dibuat di tempat yang sesuai dan orang Islam tidak dijemput untuk hadir.

“Saya syorkan kita ikut cara Islam iaitu tidak menghalang ia dibuat tetapi mesti di tempat yang sesuai dan bukan di kawasan orang Islam ramai contohnya kampung orang Melayu Islam, masjid, surau dan sebagainya,” katanya yang beranggapan kompleks membeli-belah itu sesuai dengan program berkenaan.

Khalid juga menyelar pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan dalam isu berkenaan.

“Ada pihak yang mengatakan ini negara majoriti Islam dan program ini perlu diharamkan, itu bukan ajaran Islam. Ada pihak yang cuba nak mencari isu mengatakan ini Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) tidak mengikut cara Islam, mereka perlu menunjukkan dalil (bukti),” katanya.

HM


Pengarang :