Selangorkini
NASIONAL

LENSA nafi anjur demonstrasi desak Azmin letak jawatan

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 21 OKT: Lensa Anak Muda Malaysia (LENSA) menafikan laporan di Twitter berhubung penganjuran sebuah demonstrasi di hadapan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) bagi mendesak Mohamed Azmin Ali meletakkan jawatan sebagai Datuk Menteri Besar Selangor, hari ini.

Koordinatornya, Ekhsan Bukharee berkata, berita palsu yang tersebar di laman sosial milik badan bukan kerajaan (NGO) itu digodam pihak tidak bertanggungjawab untuk memburukkan mereka.

Katanya, insiden penyebaran berita palsu yang mengaitkan LENSA berlaku sejak awal Oktober lalu, namun motif pihak terbabit tidak diketahui.

janji demokrasi 01“Ini bukan kali pertama LENSA diburukkan kerana sebelum ini media ada menghantar mesej kepada saya bertanya berkenaan demonstrasi di hadapan kilang Carlsberg.

“Saya menyedari pemalsuan Twitter Lensa itu petang tadi (20 Oktober) melalui makluman rakan saya dan menganggap ini adalah tindakan ‘sampah’,” katanya kepada Selangor Kini.

Pada masa sama, Ekhsan berkata, pihaknya tidak bercadang membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan menegaskan tidak akan melayan sebarang publisiti murahan yang cuba dimainkan pihak tertentu.

Beliau juga menolak untuk mengaitkan kemungkinan pihak sama terbabit terhadap aktiviti penggodaman berkenaan.

LENSA“Tidak perlu melayan sebarang godaman atau pencerobohan kerana banyak isu yang ingin kami bawa dan sampaikan kepada rakyat.

“Saya tidak pasti siapa bertanggungjawab cuma yang peliknya LENSA baru sahaja bertapak, kenapa orang takut sangat sehingga sanggup menggodam Twitter kami?” katanya.

Terdahulu LENSA didakwa akan mengadakan demonstrasi pada jam 2 petang ini di hadapan bangunan SUK bagi mendesak Azmin meletakkan jawatan kerana membelakangkan demokrasi.

-NFN-


Pengarang :