Selangorkini
NASIONAL

Lonjakan sokongan rakyat 43% kepada Pakatan suntik semangat baru

SHAH ALAM 22 OKT: Lonjakan sokongan kepada Pakatan Rakyat seperti dalam tinjauan terbaru Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) menunjukkan Pakatan Rakyat mampu kembali mencapai sokongan seperti sebelum ini.

Tinjauan menunjukkan sokongan rakyat Selangor kepada Pakatan melonjak mencecah 43 peratus, selepas merudum kepada 35 peratus ketika kemelut Menteri Besar Selangor Mei lalu.

suk pakatan selangorKetua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata ia membuktikan Pakatan boleh mengembalikan momentum politik, dengan syarat ia mengambil pengajaran daripada krisis MB Selangor yang berlanjutan sehingga lapan bulan.

“Lonjakan ini menjadi lebih bermakna kerana kekecewaan terhadap Pakatan di negeri itu kemungkinan telah menyebabkan sokongan merudum lebih rendah daripada 35 peratus ketika kemuncak kemelut itu sekitar Julai hingga September lalu,” kata dalam kenyataan media.

Tinjauan ini dibuat tiga hari selepas pelantikan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali pada 23 September lalu.

Tinjauan melibatkan 1,165 responden di semua kawasan parlimen negeri menunjukkan, sokongan terhadap Barisan Nasional turun daripada 25 hingga 20 peratus, manakala 28 peratus tidak pasti dan 9 peratus responden lagi enggan memberi jawapan.

Kit Siang berkata lagi, Pakatan harus melihat lonjakan ini sebagai satu suntikan semangat untuk terus kekal relevan selaku harapan rakyat negara ini.

“Dengan syarat, setiap pimpinan dan parti komponen Pakatan kembali kepada hala tuju dan dua prinsip asas Pakatan – dasar bersama Pakatan dan prinsip konsensus di kalangan ketiga-tiga parti.

“Penegasan dua prinsip ini akan membawa Pakatan ke tahap yang baru, manakala penafian terhadapnya akan pasti menjerumuskan kita ke dalam ‘tong sampah’ sejarah,” katanya lagi.

Lebih menarik dalam tinjauan itu adalah 48 peratus responden ingin PAS kekal di dalam Pakatan, manakala hanya 19 peratus mahukan parti itu keluar.

Hubungan di antara PAS dan rakan Pakatan lain dilihat agak terjejas, memandangkan keengganan berterusan parti itu menyatakan sokongan kepada Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah sebagai Menteri Besar sebelum digantikan Azmin.

“Tinjauan ini telah mengesahkan perubahan suasana politik negara, di mana Umno BN mewakili budaya politik lama, manakala Pakatan mewakili politik harapan dan keadilan,” katanya lagi.

EZY


Pengarang :