SELANGOR

MB: 2 kali lawat dalam 24 jam, tekad bantu ringan beban rakyat

Oleh: LIZAWATI MADFA

HULU SELANGOR, 22 OKT: Dua kali lawatan dalam tempoh 24 jam ke kawasan bencana tanah runtuh di sini bukti pentadbiran baru Kerajaan Negeri mengambil berat masalah rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, beliau bersama anggota Exco dan wakil rakyat lain sentiasa bersedia menghulur tangan dan meringankan bebanan rakyat.

beruntung8Untuk itu, katanya, pentadbiran Kerajaan Negeri rela turun padang bagi mendengar sendiri keluhan rakyat.

“Dalam tempoh 24 jam, saya dan anggota Exco sudah dua, tiga kali turun ke sini, kita mahu tunjukkan pentadbiran baru ini menghormati rakyat.

“Kita bukan sahaja duduk di dalam pejabat, tetapi turun dan dengar masalah rakyat,” katanya dalam ucapan di hadapan lebih 100 hadirin.

Beliau berucap demikian ketika menghadiri majlis makan tengah hari bersama penghuni blok kejadian tanah runtuh di Pangsapuri Teratai di penempatan sementara Sekolah Kebangsaan Taman Bunga 2 , di sini.

beruntung9Turut serta dalam lawatan kali ini ialah Exco Negeri, Dr. Daroyah Alwi dan Ean Yong Hian Wah serta Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Bahru, Lee Kee Hiong serta Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani.

Pada masa sama, Mohamed Azmin meminta semua mangsa bersabar menanti lampu hijau sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“Buat masa sekarang, kita akan mengadakan laluan air dan membina penghadang ‘sheet pile’ antara cerun Blok L dan K selain memasang ‘sensor’ bagi mengesan sebarang pergerakan air bawah tanah.

“Satu laporan akan disiapkan pada Jumaat, sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Perkara utama bagi kami ialah keselamatan para penghuni,” katanya kepada pemberita.

Semalam, Mohamed Azmin berkesempatan melawat mangsa kejadian tanah runtuh di pusat penempatan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bunga Raya.

Petang ini, beliau dan anggota Exco akan ke Pandamaran pula bagi melawat kawasan mangsa kejadian ribut di beberapa pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Kejadian yang berlaku selama kira-kira 30 minit itu menyaksikan pusaran angin terbentuk sejurus hujan lebat melanda, sebelum menerbangkan bumbung dua pangsapuri di Pandamaran Jaya.

EZY


Pengarang :