Selangorkini
SELANGOR

MB: LENSA cakap isu demokrasi tapi pertikai hak rakyat berhimpun?

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR 18 OKT : Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali menyifatkan gesaan Lensa Anak Muda Malaysia (LENSA) supaya rakyat tidak terlibat dalam perhimpunan solidariti untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai sesuatu yang janggal.

Hal ini berikutan pada masa sama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dianggap mesra Pakatan Rakyat (PR) itu bercakap soal demokrasi yang menjamin hak rakyat untuk berhimpun secara aman seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

MB Azmin“Ini adalah proses demokrasi untuk mereka menyatakan dalam perhimpunan aman dan ini sesuatu yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Kalau dia bercakap soal demokrasi, kenapa dia nak halang pihak lain untuk adakan perhimpunan secara aman?” Kata Mohamed Azmin kepada wartawan selepas menghadiri program Malaysia Largest Lion Dance di Viva Home Shoping Mall di Jalan Loke Yew, di sini.

Terdahulu Jurucakap Lensa, Ekhsan Bukharee dalam sepucuk surat yang tidak dinyatakan nama penerimanya berkata, rakyat sudah letih untuk berdemontrasi setiap kali Anwar menghadapi perbicaraan di mahkamah.

Jelas beliau, sokongan rakyat terhadap Anwar juga semakin berkurangan dan berharap agar Anwar bersara dari arena politik tanah air.

Ekhsan berkata demikian ekoran langkah Angkatan Muda Keadilan (AMK) menganjurkan himpunan ‘Rakyat Hakim Negara’ menjelang keputusan rayuan terakhir Anwar di Mahkamah Persekutuan hukjung bulan ini.

Sementara itu, program Malaysia Largest Lion Dance hari ini dicatatkan di Malaysia Book of Records apabil mengadakan tarian singa terbesar di negara ini.

Tarian kebudayaan kaum Cina itu melibatkan 300 ‘singa’ dengan jumlah penari dan pemain muzik seramai hampir 1,000 orang pada suatu masa.

Acara kemuncak program dua hari itu akan diadakan esok.

EZY


Pengarang :