SELANGOR

MMKN akan kaji kenaikan elaun 4 jawatan tertinggi

Oleh Naeem Raffi

SHAH ALAM, 1 OKT: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) akan mengkaji kenaikan elaun yang sebelum ini mencetuskan kontroversi.

Datuk Menteri Besar Mohamed Azmin Ali berkata kajian itu melibatkan jawatan beliau, Exco, Speaker serta Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS).

azmin mb1“Kami putuskan untuk kaji semula kenaikan elaun yang diputuskan pada 22 November 2013.

“Usul itu akan dikemukakan dalam sidang DNS November ini,” Azmin berkata demikian dalam sidang media seusai mempengerusi MMKN hari ini.

Ditanya pemberita sama ada kajian tersebut dijalankan untuk menaikan atau mengurangkan elaun jawatan terlibat, Azmin dengan ringkas menjawab elaun berkaitan dipotong.

Sebelum ini, Mantan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengusulkan kenaikan gaji kesemua Adun Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN).

Abdul Khalid berkata kenaikan itu adalah merujuk kepada gaji asas dan elaun setiap ahli dewan.

Bagaimanapun ia mendapat kritikan pelbagai pihak ekoran cadangan tersebut menjadikan elaun beberapa jawatan naik sehingga 300 peratus.

Pada 26 September lalu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata PKR mahu Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali menurunkan kadar elaun Menteri Besar dan exco pada kadar munasabah.

Anwar berpandangan walaupun ada kewajaran namun ia tidak perlu dilaksanakan secara mendadak.

Untuk rekod, gaji Menteri Besar dinaikkan daripada RM14,175.15 kepada RM29,250; anggota exco kerajaan negeri daripada RM6,109.29 kepada RM20,250; speaker DUN (RM6,109.29 kepada RM22,500); timbalan speaker (RM3,327.50 kepada RM15,750) dan Adun (RM6,000 kepada RM11,250)

HM


Pengarang :