Selangorkini
SELANGOR

MSN Selangor sambut baik hasrat tingkat peruntukan sukan

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 21 OKT: Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) menyambut baik hasrat Kerajaan Negeri untuk meningkatkan peruntukan pembaikan kemudahan sukan di negeri itu bagi memastikan prestasi sukan dan atlet berada dalam keadaan terbaik.

Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan MSNS, Mohamad Nizam Marjugi berkata, kemudahan yang ada di Selangor kini tidak memenuhi piawaian hingga menyukarkan usaha penganjuran kejohanan sukan sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

Katanya, peruntukan tambahan itu sangat diperlukan bagi memenuhi tuntutan lima perkara utama iaitu kemudahan (peralatan), jurulatih, atlet, kebajikan dan penghargaan.

Sukan Selangor“Kalau di pihak saya untuk pembangunan sukan, saya amat berterima kasih dan berbesar hati jika Kerajaan Negeri memperuntukkan dana tambahan untuk kemudahan sukan.

“Sebenarnya kalau kita lihat setiap daerah ada stadium, tetapi tiada yang lengkap dan sukar untuk membuat kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Jadi, dengan adanya peruntukan tambahan ini kita rasa pembangunan sukan dapat dijalankan dengan lebih baik dan meningkatkan prestasi atlet,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata, pihaknya pernah meminta peruntukan tambahan daripada pentadbiran Kerajaan Negeri yang lama, namun keperluan itu tidak dilihat secara keseluruhan hingga membantutkan usaha menaiktaraf pembangunan sukan di Selangor.

Katanya, ekoran itu prestasi atlet di Selangor kian terjejas dan sedikit sebanyak mula merudum kerana tidak mendapat kemudahan dan latihan sempurna.

Sukan“Kita pernah minta, tetapi malangnya tidak dilihat keperluan itu secara keseluruhan. Kalau kita lihat prestasi atlet contohnya di SUKMA, negeri ini agak ketinggalan tetapi orang cuma melihat atlet tidak bagus.

“Masalahnya kalau atlet hendak bagus, mereka perlu tempat latihan yang mencukupi dan sempurna, namun kebanyakan kemudahan yang ada menjadi kekangan kepada kita,” katanya.

Terdahulu, Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari memaklumkan peruntukan pembaikan kemudahan sukan negeri akan ditingkatkan sehingga lapan kali ganda berbanding peruntukan sebelum ini.

Beliau berkataa peningkatan belanja pembangunan itu dilakukan bagi memenuhi keperluan setiap kompleks sukan milik negeri yang berada di setiap daerah.

-NFN-


Pengarang :