Selangorkini
SELANGOR

Oktoberfest: syarat pohon permit hiburan sementara prosedur biasa

Oleh Naeem Raffi

SHAH ALAM, 9 OKT: Keperluan penganjur pesta arak ‘Oktoberfest 2014’ memohon permit hiburan sementara daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah prosedur biasa dan bukannya syarat tambahan.

Exco Kerajaan Tempatan, Ean Yong Hian Wah berkata kelulusan permohonan permit itu tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.

Katanya, tiada sebab permit tidak dapat diberikan sekiranya penganjur memenuhi segala syarat yang telah ditetapkan.

ean yong hian wah“PBT merupakan agensi yang memberikan permit untuk sebarang program yang dianjur oleh mana-mana pihak seperti pusat membeli-belah.

“Ini merupakan proses biasa dan bukannya keperluan yang baru dikenakan ke atas penganjur.

“Syarat-syarat seperti persetujuan daripada Polis dan Kastam merupakan syarat yang sama pada tahun-tahun yang lepas dan bukannya merupakan syarat tambahan yang baru tahun ini.” katanya dalam satu kenyataan.

Ean berkata demikian bagi mencerahkan beberapa laporan media sebelum ini yang kelihatan seolah-olah Kerajaan Negeri telah menolak tanggungjawab kepada PBT atau telah mengenakan permit atau syarat-syarat tambahan kepada pihak penganjur.

Pesta Octoberfest bermula sejak abad tahun 90’an lagi.

Bagi tahun ini, acara dijadualkan bermula di hotel Subang (24 September) dan beberapa tempat di Selangor dan Kuala Lumpur.

Sambutan akhir dijadual diadakan di pusat membeli belah One Utama di Petaling Jaya daripada 10 hingga 12 Oktober dan dijangka menarik perhatian 12,000 orang penggemar bir.

Pesta itu turut mendapat bantahan beberapa pemimpin PAS dan NGO seperti Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILHAM) dan Angatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Sementara itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam kenyataannya menggesa pihak penganjur lebih peka dengan sosiobudaya dan sensitiviti agama dalam negara ini.

“Manakala pihak berkuasa tempatan pula dipohon untuk mengambil tindakan yang sewajarnya kepada mana-mana pihak yang dengan sengaja melanggar peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

HM


Pengarang :