Selangorkini
NASIONAL

Peguam Negara patut gugur semua kes Akta Hasutan

SHAH ALAM 31 OKT: Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail patut menggugurkan semua tuduhan kes Akta Hasutan di mahkamah ekoran keputusannya “membebaskan” Presiden Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali.

Pengerusi Biro Undang-Undang dan Hak Asasi PKR, R Sivarasa berkata, Gani perlu membuat tindakan betul dengan mengkaji semula Akta Hasutan 1948 memandangkan undang-undang itu membimbangkan rakyat Malaysia dan dikritik hebat oleh negara luar.

mansuh akta“Peguam Negara kata Ibrahim Ali membuat kenyataan kontroversi ‘bakar Bible’ mengikut ‘konteks’ dan disebabkan itu beliau tidak didakwa.

“Tetapi Gani Patail tidak peduli dengan ‘konteks’ yang sama apabila mendakwa Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mengenai kuasa Mais atau peguam N Surendran mengenai kenyataan kes Liwat II anak guamnya, atau Profesor Azmi Sharom dengan pandangan undang-undangnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Subang itu berkata, Gani masih membisu mengenai pertemuannya dengan 60 pemimpin Umno pada 14 Ogos lalu, beberapa hari sebelum Akta Hasutan mula dikenakan, walaupun dipersoalkan banyak pihak.

Beliau turut membangkitkan janji Gani pada 10 September lalu mengkaji semula dakwaan hasutan selepas menerima kritikan hebat, tetapi sehingga kini masih tiada sebarang tindakan.

“Malah lebih banyak individu yang ditahan untuk disiasat atau didakwa di bawah undang-undang lapuk itu,” katanya.

EZY


Pengarang :