Selangorkini
NASIONAL

Pemuda PAS gesa kerajaan laksana daftar undi automatik

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Pemuda PAS Malaysia menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri bagi menggesa kerajaan melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik pada umur 21 tahun, bermula hari ini.

Penyerahan itu dibuat melalui Jawatankuasa Auto 21 yang diketuai Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS, Mohd Sany Hamzan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim di Parlimen, hari ini.

Hadir sama pada penyerahan itu termasuk Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat.

spr on black 01Jawatankuasa Auto 21 adalah di bawah kelolaan bersama Jabatan Pilihan Raya Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Malaysia.

Angota parlimen PAS termasuk Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena), Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang) dan Idris Ahmad (Bukit Gantang) juga turut hadir pada penyerahan memorandum itu.

Sany ketika bercakap kepada pemberita berkata, inisiatif itu dilihat akan mengurangkan perbelanjaan negara dalam proses pendaftaran pengundi kerana ia berlaku secara automatik, sekali gus menjimatkan tenaga kerja dan masa.

Katanya, pendaftaran automatik itu juga dijangka mampu meningkatkan peratusan keluar mengundi.

mohd sany hamzanSelain itu, katanya, pelaksanaannya juga dilihat lebih mudah dengan kerjasama dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mendapatkan data warganegara yang sudah mencapai umur 21 tahun.

“Senarai data ini akan diproses pegawai SPR untuk didaftarkan sebagai pengundi baru. Ia lebih selamat dari manipulasi data oleh pihak tidak bertanggungjawab.,” katanya yang dipetik daripada Harakah Daily.

Sementara itu, Shahidan ketika mengulas perkara itu berkata, kerajaan perlu meneliti beberapa perkara sebelum melaksanakan cadangan itu.

Katanya, proses pelaksanan pendaftaran automatik membabitkan banyak agensi terutama rekod rakyat negara ini.

“Ada sedikit perkara yang perlu dikemaskini, ianya membabitkan rekod. Kita bukan menolak untuk tidak laksanakan,” katanya.

-NFN-


Pengarang :