Selangorkini
NASIONAL

Pemuda Pas turun ke himpunan PROTES Kenaikan Harga Minyak

SHAH ALAM, 6 OKT: Himpunan aman membantah kenaikan harga bahan bakar di pintu hadapan Parlimen Malaysia 8 Oktober depan bakal menyaksikan pertembungan keluhan rakyat dan agenda pemerintah merasionalisasi subsidi.

Ketua Pemuda PAS Malaysia (PPM), Suhaizan Kaiat berikrar untuk menurunkan kekuatan sayap pemuda Parti Islam Se-Malaysia itu ke himpunan anjuran PROTES Kenaikan Harga Minyak nanti.

“Saya sendiri bersama pimpinan Exco PPM akan turun bersama bagi menyatakan sokongan terhadap PROTES. Saya juga ingin mengajak seluruh anak muda supaya dapat hadir bersama-sama dalam himpunan ini.

Tunjukkan kemarahan dan protes kita terhadap kenaikan harga petrol dan diesel kerana anak muda sudah tidak tertahan dengan bebanan hidup yang meningkat ini,” tegas Suhaizan dalam satu kenyataan yang diterima pihak kami sebentar tadi.

Berkuat kuasa 2 Oktober lepas subsidi petrol dan diesel dikurangkan 20 sen seperti yang diumum Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Sehubungan itu, harga runcit baharu bagi petrol RON95 ialah RM2.30 seliter dan diesel RM2.20 seliter.

Ramai pihak termasuk Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berpendapat langkah rasionalisasi kali ini akan memberi kesan riak bukan sahaja kepada harga barangan jualan, tetapi juga kos pengangkutan dan sara hidup bulanan.

Apa yang menyedihkan, ketika kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol di negara ini, harga minyak petrol di Eropah jatuh merudum di kebanyakan negara. Apakah alasan kerajaan untuk menaikkan sewenang-wenangnya harga petrol sedangkan ianya jatuh dan menurun di negara lain,” soal Suhaizan.

HM


Pengarang :