Selangorkini
NASIONAL

Pemuda: Tiada keperluan naikkan harga minyak

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 2 OKT : Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) berpendapat tiada keperluan mengurangkan subsidi petrol RON95 dan diesel yang menyumbang kepada kenaikan harga bahan bakar itu sebanyak 20 sen seliter secara mendadak, berkuatkuasa tengah malam tadi.

Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat berkata tindakan drastik Putrajaya itu menimbulkan suasana panik dan kelam kabut di kalangan rakyat yang terpaksa berpusu-pusu mengisi petrol di saat-saat akhir sebelum jam 12 malam tadi.

“Apakah tiada ruang buat rakyat memberikan pandangan balas serta cadangan bagi membantu kerajaan menampung perbelanjaan negara?

“Apakah para pemikir negara sudah kekeringan idea sehingga mengambil langkah drastik menaikkan harga minyak tanpa memikirkan impak dan kesan ke atas rakyat?” katanya dalam satu kenyataan.

Pemuda PAS turut membidas cadangan menambah kadar pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang dikatakan sekadar melepaskan batuk di tangga.

“Nampaknya rakyat tidak mempunyai banyak pilihan melainkan terpaksa lebih mengikat perut, bekerja lebih masa, mencari sumber pendapatan tambahan serta pekerjaan tambahan bagi menampung kehidupan sekeluarga,” tegas Suhaizan.

Sementara itu, Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) berpendapat kenaikan harga bahar bakar memberi kesan langsung kepada harga barangan keperluan lain.

DAPSY berpendirian Putrajaya melakukan penjimatan kos melalui pembasmian rasuah yang lebih serius, sebelum meningatkan beban rakyat biasa.

“Seperti yang diketahui umum, setiap kali harga RON95 atau diesel meningkat, segala-galanya akan naik secara seiring.

“BN perlu menunjukkan kepada kita keperluan untuk mengurangkan subsidi dan di manakah penjimatan ini akan disalurkan?” soal Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY Rajiv Rishyakaran.

Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengumumkan harga petrol RON95 akan dijual pada harga RM2.30 seliter dan diesel pula RM2.20 mulai pukul 12 tengah malam tadi.

Kali terakhir kenaikan harga minyak RON 95 adalah pada 2 September 2013 iaitu sebanyak 20 sen dari RM1.90 kepada RM2.10, manakala diesel dari RM1.80 kepada RM2.00.

HM


Pengarang :