NASIONAL

Rafizi: Najib tidak bertanggungjawab, kelirukan rakyat dengan CGT

Oleh: AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak beberapa hari lalu kononnya pengenalan Cukai Keuntungan Modal (CGT) akan meruntuhkan pasaran modal dan saham negara adalah tidak bertanggungjawab.

Tindakan itu dilihat sebagai cubaan beliau untuk mengelirukan rakyat dengan harapan sebilangan besar tidak memahami soal percukaian akan mudah mempercayai beliau.

Najib bajetKatanya, CGT yang hanya mensasarkan golongan kaya adalah lebih bermoral dan adil berbanding dengan GST yang mengenakan cukai kepada semua rakyat.

Berdasarkan statistik pemilikan aset kewangan yang didedahkan Muhamad Abdul Khalid dalam bukunya “The Colour of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia” menunjukkan hanya segelintir rakyat yang mampu memiliki aset kewangan terbabit.

“Lebih dari 53 peratus rakyat Malaysia tidak mempunyai aset kewangan. Golongan 10 peratus terkaya mengawal 77 peratus keseluruhan aset kewangan di negara ini.

“80 peratus rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah hanya memiliki 5.5 peratus dari aset kewangan,” katanya di Lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Gst biasaKatanya, antara negara yang melaksanakan CGT adalah Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman dan Jepun, namun tidak pula menyaksikan runtuhnya pasaran modal di negara terbabit, bahkan menjadi sebahagian penyumbang pendapatan.

Sehubungan itu, katanya, dengan pelaksanaan CGT yang dijangkakan akan dapat mengutip cukai RM3 bilion dalam tahun pertama, dianggarkan sekitar 10 peratus hingga 15 peratus dari rakyat Malaysia yang akan menanggung cukai berkenaan.

-NFN-


Pengarang :