Selangorkini
NASIONAL

RON95: Definisi ‘Golongan Berpendapatan Tinggi’ Perlu Jelas

Oleh Hasnah Jusid

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama): Kerajaan perlu memberikan satu definisi jelas berkaitan ‘golongan berpendapatan tinggi’ sebelum melaksanakan peraturan baharu subsidi petrol RON95 terhadap mereka.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata ini kerana definisi golongan itu kini berbeza mengikut situasi dan kawasan di mana mereka berada.

Sambil menyifatkan pengumuman itu sebagai sesuatu yang ditunggu-tunggu, beliau berkata golongan berada ialah pengguna yang apabila berlaku kenaikan kos tidak akan mempengaruhi kehidupan mereka.

FOMCA“Mereka yang berpendapatan RM5,000 hingga RM10,000 pun masih tertekan dengan kos sara hidup jika hidup di bandar.

“Pertama, kerajaan kena cari golongan betul-betul tidak layak terima subsidi; kedua, industri yang tidak layak mendapatnya perlu dikeluarkan; ketiga, ketirisan kerajaan perlu diatasi, barulah pergi kepada pengguna domestik,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.

Semalam, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata harga jualan petrol RON95 bagi golongan berpendapatan tinggi adalah mengikut harga pasaran mulai Jun tahun depan.

Ahmad berkata mekanisme dan kaedah pelaksanaannya sedang diperhalusi Kementerian Kewangan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan iaitu sama ada menggunakan MyKad atau kad lain.

Golongan berpendapatan rendah dan sederhana pula akan terus menikmati RON95 pada harga subsidi.

Penganalisis ekonomi Datuk Mohd Yusof Kassim berkata langkah kerajaan itu memberi faedah besar untuk mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana serta impak positif kepada pembangunan negara.

Beliau berkata penjimatan daripada langkah itu boleh disalur kepada projek yang berfaedah untuk rakyat dan agihan pendapatan negara kepada golongan berpendapatan sederhana.

“Sebenarnya harga pasaran bukan sepanjang masa tinggi, ada masa turun, macam sekarang ini, harga pasaran rendah.

“Pelaksanaan itu satu isu, konsep betul, mungkin kerja kerajaan dan swasta boleh tengok slip gaji, cuma orang bekerja sendiri boleh dilihat dia bayar cukai macam mana,” katanya.

Pandangan sama turut diutarakan pakar ekonomi Profesor Dr Mohamad Aslam Haneef dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang menyifatkan isu mekanisme pelaksanaan memainkan peranan penting dalam menentukan keberkesanan langkah itu.

“Jika ia hanya melibatkan golongan berpendapatan tinggi, ok lah, kerana yang berpendapatan tinggi tidak sepatutnya diberi subsidi.

“Sepatutnya langkah ini akan kurangkan perbelanjaan kerajaan namun cara pelaksanaan mesti difikirkan, bagaimana anda nak tentukan seseorang itu berpendapatan tinggi. Bergantung pada mekanisme,” katanya.


Pengarang :