Selangorkini
SELANGOR

“Rumah kami dipantau samseng malam nanti” – Penguatkuasa

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SEPANG, 2 OKT: Keselamatan pegawai, anggota dan ahli keluarga penguatkuasa Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) sering terancam sebaik selesai mengadakan operasi besar-besaran.

Ini berikutan, kediaman mereka akan dipantau kuncu-kuncu samseng pusat perjudian yang diserbu dalam operasi sebelumnya bagi menakutkan anggota atau pegawai terlibat.

20141001_124109“Biasanya operasi seperti ini tak berakhir di sini sahaja sebab sebelah malamnya mereka hantar orang perhatikan rumah kami.

“Maka disebabkan itu, setiap kali adakan operasi saya bawa isteri dan anak-anak saya keluar ke tempat lain beberapa hari,” kata Hairol Azman sebaik sahaja selesai operasi yang melibatkan pusat perjudian haram, ‘Ops Dadu’ di sekitar Bandar Baru Salak Tinggi, semalam.

Hairol Azman berkata, beliau juga menyedari beberapa ‘kepala’ samseng memerhatikan pergerakkan mereka dari jauh ketika Ops Dadu dijalankan.

Tinjauan Selangor Kini sepanjang operasi dijalankan, didapati beberapa lelaki yang berada di luar pusat perjudian mula menghubungi seseorang melalui telefon bimbitnya sebaik menyedari kehadiran kami.

Kecurigaan Selangor Kini terhadap lelaki terbabit berasas apabila sedang anggota penguatkuasa sibuk memunggah keluar set-set komputer, lelaki itu memasuki ke dalam cyber cafe haram itu dan cuba membawa keluar beberapa peralatan penting yang dipercayai ‘server’ milik pusat perjudian terbabit.

Bagaimanapun perbuatan lelaki itu sempat dihalang beberapa orang anggota lain yang menyedari tindak-tanduk beliau itu.

Ops Dadu yang dijalankan MPSp semalam dijalankan serentak di 19 pusat perjudian cyber cafe haram seluruh Bandar Baru Salak Tinggi.

Dalam serbuan itu, MPSp berjaya merampas lebih 3,900 set komputer serta kelengkapan lain bernilai lebih RM200,000.

HM


Pengarang :