Selangorkini
KENYATAAN MEDIA

SAMM: Kerajaan BN biarkan rakyat tempatan terus merempat

Selepas Kampung Chubadak, penduduk Kampung Pauh Seberang dan Kampung Banggul Donas di Terengganu dan Kampung Sungai Jerneh di Alor Gajah, Melaka sedang menanti tanah-tanah dan rumah-rumah mereka yang akan dirampas.

Bukan soal ada atau tidak geran tetapi Kanun Tanah Negara memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengambil tanah rakyat walaupun ada geran dan tanpa persetujuan tuan tanah.Kerana itulah tindakan merampas tanah ini adalah zalim.

Interview penduduk Kg. Chubadak (11)Jika setinggan sekalipun, mereka adalah peneroka bandar yang telah mendiami bandar ini lebih daripada 40 tahun. Malahan, ada yang menjangkau usia 100 tahun.

Di mana sifat kemanusiaan kamu wahai Pemerintah? Menghalau penduduk kampung dengan pampasan sekadar RM7,500 sahaja. Rumah apa boleh dibeli dengan jumlah sebanyak itu.
Flat Kampung Kerinchi juga diambil dengan paksa.

Manakala pampasan yang diberikan sangat rendah, sekitar RM150,000 sahaja. Jauh rendah daripada harga pasaran. Kawasan perumahan ini terletak bersebelahan dengan Lebuhraya Persekutuan, mempunyai jaringan jajaran LRT dan berdekatan Universiti Malaya. Mana mungkin harga pasaran sebanyak itu sahaja.

Kemudian, kamu serahkan tanah-tanah itu kepada pemaju yang mentransformasikan tanah-tanah itu dengan kondominium mewah dengan nilai paling murah adalah RM 600,000 sehinggalah yang paling mahal berharga lebih RM 1 juta.

Penduduk asal mana yang mampu membeli rumah seperti itu? Dengan pampasan RM150,000 itu, rumah apa yang boleh dibeli di Kuala Lumpur ini?

Penduduk yang bersetuju dengan pampasan kerana pada pandangan mereka pada tahun 70-an dahulu mereka membeli rumah tersebut pada harga RM38,000 sahaja. Ditawarkan RM150 ribu sekarang sudah terlampau besar jumlahnya. MasyaAllah.

Pemerintah yang bertanggungjawab seharusnya membuat penilaian mengikut pasaran semasa. Bukan menggunakan perbandingan begitu. Alangkah malangnya nasib rakyat di tipu hidup-hidup oleh pemerintah sendiri.

Greater Kuala Lumpur sedang berubah perlahan-lahan menjadi Hawaii dan Hong Kong. Di sebalik kemajuan yang sangat “Greater” itu, warga-warga asal yang mendiami puluhan tahun sedang dibunuh perlahan-perlahan. Dipindah keluar secara halus, langsung menjadikan mereka sebagai penonton dari kejauhan.

Yang memunggah manfaat Greater Kuala Lumpur adalah mereka-mereka yang berhidung mancung daripada Negara Arab, yang berambut blonde dari Amerika Syarikat dan Kanada, rakyat Singapura dan lain-lain. Ini bukan satu rekayasa penyedap cerita.

Pergilah ke tapak Kampung Kerinchi sekarang ini. Satu masa dahulu ianya didiami 2,000 keluarga yang berkulit sawo matang. Sekarang menjadi Bangsar South yang didiami oleh warga-warga asing. Lengkap dengan deretan bar untuk meraikan penuhnya warga asing. Hidup pemerintah!!!

Sungai Jerneh dan Felcra Ramuan Cina di Masjid Tanah, Melaka pula akan diambil untuk tujuan pembinaan empangan. Habis pupus kampung-kampung tradisi. Sungai Jerneh adalah perkampungan tradisi yang dipenuhi kisah sejarah menjadi pusat penentangan Dol Said, penghulu Naning. Sejarahnya cukup besar.

Ketika kempen pilihanraya umum, calon parlimen Masjid Tanah membangkitkan isu ini. Kerajaan segera mengumumkan penangguhan. Kerana itu, pengundi memberikan undian kepada anda sehingga diangkat sebagai Ahli Parlimen kawasan Masjid Tanah. Tetapi apa yang kamu buat menjelang tahun kedua pasca Pilihanraya Umum Ke-13. Kamu lupa derita rakyat.

Hari ini diberitakan awal November ini, satu taklimat pengambilan tanah akan dibuat di Pejabat Daerah Alor Gajah. Kamu ingin sambung projek merembat tanah rakyat. Kamu khianat kepercayaan rakyat yang memilih kamu.

Ingatkan tanah perkampungan di bandar dan pinggir bandar sahaja yang akan dilahap. Rupanya, di kawasan luar bandar juga anda melahap ganas. Seolah-olah bumi ini sudah tandus dengan tanah-tanah.

Tahniah Barisan Nasional. Seluruh Sentul telah kamu sedekahkan kepada YTL. Seluruh Lembah Pantai dan Bangsar disedekahkan kepada UEM dan lain-lain. Tahun demi tahun sejumlah kelompok diisytihar sebagai kelompok mahakaya Malaysia.

Sungguh kaya kerana tauke-tauke ini telah disedekahkan tanah rakyat oleh Pemerintah Malaysia.

* Mohd Afiq Ayob adalah Jurucakap SAMM dalam isu Chubadak


Pengarang :