Selangorkini
NASIONAL

Subsidi minyak: Mengapa kerajaan begitu berkira?

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 29 OKT: Langkah kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk memberi subsidi petrol mengikut pendapatan individu disifatkan tidak wajar dan dianggap terlalu ‘berkira’ dengan rakyat.

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, adalah tidak adil untuk mengatakan bahawa kebanyakan individu yang menikmati kadar subsidi petrol terdiri di kalangan mereka yang berkereta mewah.

Katanya, hal itu kerana berdasarkan pemerhatian, kebanyakan rakyat Malaysia di negara ini memiliki pendapatan sederhana dan menggunakan kenderaan buatan Malaysia untuk urusan harian.

harga-minyak-naik-20-sen“Tidak adil untuk berkata golongan yang menikmati kadar minyak subsidi tinggi adalah mereka yang berkereta besar.

“Jika yang menikmati harga minyak subsidi adalah yang berkereta besar, mengapa pula mereka perlu dihukum? Mereka sudah membayar cukai.

“Yang saya lagi pening, kerajaan kata tidak suka kepada rakyat yang suka subsidi, tetapi memberi subsidi secara terpilih mengikut tahap pendapatan itu, tidakkah itu juga subsidi?” tulisnya di Facebook.

Beliau turut melahirkan kebimbangan bahawa cara pemberian subsidi petrol menggunakan kaedah itu akan disusuli dengan kenaikan harga barang yang masih gagal dikawal sepenuhnya kerajaan.

Katanya, jika pemberian subsidi berkenaan memberi kesan kepada pendapatan negara, maka kerajaan pusat disarankan supaya mengapungkan harga minyak mengikut pasaran dunia.

“Yang saya bimbang, adalah dengan cara pemberian subsidi minyak ‘mengikut pendapatan individu’ ini adalah kenaikan harga barang.

Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff“Jika harga minyak naik 20 sen, itu masih boleh diatur dengan menjimatkan penggunaan kereta tetapi bagaimana dengan kenaikan harga barang? Apakah boleh dikawal?” katanya.

Mohammad Agus berkata, langkah terbaik yang boleh dilakukan kerajaan adalah menghapuskan pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dan menggunakan dana itu untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur negara.

“Duit yang dapat dikutip itu perlu digunakan segera bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur negara. Seksa rasanya jalan raya sesak teruk,” katanya.

Hanya mereka yang mempunyai pendapatan kurang RM5,000 sebulan dan membawa kenderaan kurang daripada 2,000 cc layak menikmati pembelian bahan api bersubsidi secara sepenuhnya.

Di bawah pendekatan baru yang akan dilaksanakan mulai September ini, pemilik kenderaan yang mempunyai pendapatan bulanan antara RM5,000 hingga RM10,000 pula diperuntukkan kuota petrol RON95 dan diesel bersubsidi 300 liter.

Sebaik menghabiskan kuota 300 liter, pemilik kenderaan berkenaan tiada pilihan melainkan membeli bahan api mengikut harga pasaran.

Bagi mereka yang mempunyai pendapatan RM10,000 ke atas pula, mereka dijangka tidak akan dibenarkan membeli petrol atau diesel menggunakan harga subsidi.

-NFN-


Pengarang :