Selangorkini
BERITA UTAMA

Surat terbuka kepada Azmin Ali untuk tangani masalah rakyat – S. Arutchelvan

Tahniah kepada Mohamed Azmin Ali kerana berjaya dilantik oleh DYMM Sultan Selangor menjadi menteri besar Selangor yang ke-15 setelah satu krisis yang agak panjang.

Kami daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) ingin mempertengahkan beberapa isu penting yang memerlukan komitmen YAB Menteri Besar dan kerajaan negeri untuk penyelesaian segera. Ada yang antara isu ini adalah janji lama yang belum dikotakan lagi.

Di bawah ini, kami senaraikan 10 isu utama untuk tatapan dan tindakan YAB:

1. PSM amat mengharapkan Pilihanraya Kerajaan Tempatan dilaksanakan. Pemilihan secara demokratik di peringkat PBT dan kampung-kampung dapat menyemarakkan proses demokrasi peringkat bawahan dan juga untuk meningkatkan mutu dan prestasi Ahli Majlis dan Kerajaan Tempatan.

Mengikut Exco yang berkenaan sebelum ini, Teng Chang Khim, kerajaan negeri telah berjanji melaksanakannya sebelum akhir tahun 2014, iaitu tinggal dua bulan lebih sahaja. Kami ingin mengetahui adakah janji YB Teng itu akan dilaksanakan?

2. Kami juga meminta YAB supaya memulihkan semula BBTOAS (Badan Bertindak Tanah Orang Asli Selangor) yang telah dibubarkan semasa krisis MB. Kami difahamkan kebanyakan pemetaan masyarakat (community mapping) kawasan Orang Asli di Selangor sudah siap dan kini kerajaan negeri harus memulakan kerja-kerja segera mewartakan kawasan tersebut.

Selain itu, satu cadangan enakmen “Orang Asli Land Reservation Enactment” yang juga telah disediakan oleh masyarakat Orang Asli dengan NGO orang Asli masih tertangguh dan harus digubal secepat mungkin demi untuk menjaga kepentingan dan hak masyarakat orang asli di Malaysia.
3. Usaha menggubal enakmen baru bagi melindungi pekerja ladang yang terjejas apabila ladang mereka digunakan untuk pembangunan, turut menjadi satu lagi projek terbengkalai. Inisiatif menggubal enakmen ini telah diambil semasa YB Xavier Jeyakumar menjadi Exco Ladang.
Satu deraf undang-undang juga telah disediakan oleh satu Task Force Perumahan Pekerja Ladang Negeri Selangor.

Namun Task Force berfungsi sejak 1 Januari 2012, dan juga tidak diteruskan apabila Pakatan Rakyat memerintah Selangor untuk penggal kedua pada tahun 2013. Walaupun janji untuk menggubal enakmen baru ini sudah pun diumumkan kepada media, tetapi masih belum dilaksanakakan lagi sehingga hari ini.

4. Pada November 2011, bekas MB mengumumkan bahawa semua pekerja GLC di bawah kerajaan negeri akan dibayar gaji minima RM1,500. Ini merupakan satu polisi baik dan harus diteruskan. Namun pada masa yang sama, kami mendapati bahawa ada pekerja diupah terus oleh kerajaan negeri dan pejabat Adun dibayar gaji kurang daripada RM1,500. Kami berharap skim gaji semua pekerja diselaraskan dan tidak dibayar kurang daripada RM1,500 sebulan.

5. PSM juga pernah mengadakan dialog dan menghantar memorandum yang meminta supaya semua pangsapuri kos rendah diambil alih oleh Kerajaan Tempatan. Kami juga meminta agar penghuni pangsapuri kos rendah yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah tidak dibebankan dengan dua jenis cukai – iaitu cukai pintu dan bayaran penyelenggaraan.

Walaupun kerajaan negeri pernah membuat satu kajian pilot melalui PKNS di flat-flat kos rendah yang dikendalikan oleh PKNS, tetapi sehingga kini tidak ada sebarang pelaksanaan. Banyak flat kos rendah berada dalam keadaan teruk dan amat mendukacitakan. Pengalaman menunjukkan bahawa pihak pengurusan pangsapuri kos rendah tidak mampu mengutip bayaran penyelenggaran, mahupun menguruskan pangsapuri kos rendah.

6. PSM juga bersama beberapa NGO telah membentuk satu jaringan yang berkempen menuntut pada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri supaya mengambil tindakan untuk mengawal harga perumahan, kerana harga perumahan yang terlalu tinggi amat membebankan rakyat. Kami meminta isu peneroka bandar yang telah lama tertangguh diselesaikan segera dengan pemberian geran tanah.

Kami juga mendesak kerajaan negeri menubuhkan badan amanah (trust) perumahan yang tidak berlandaskan keuntungan, untuk membina rumah selesa dengan harga yang munasabah untuk masyarakat berpendapatan rendah. Kami sudah sedia dengan kertas kerja yang mengandungi cadangan penyelesaian masalah harga rumah, dan ia memerlukan komitmen kerajaan negeri untuk dilaksanakan.

7. PSM juga mendesak supaya pengangkutan awam bas dikendalikan oleh majlis tempatan supaya ia dapat memberikan perkhidmatan yang lebih menyeluruh, berkesan dan murah berbanding dengan keadaan sekarang di mana pengusaha bas swasta hanya menumpu di kawasan tertentu demi untuk memaksimakan keuntungan sahaja. Subsidi bas sekolah untuk kanak-kanak sekolah juga harus diteruskan dan dipetimbangkan.

8. Segala projek pembangunan mesti diluluskan dengan prasyarat ketat bagi menghalang kesan buruk terhadap alam sekitar. Wartakan semua kawasan lapang hijau, zon penampan dan hutan semulajadi agar ianya tidak dirampas dan ditukar milik untuk tujuan pembangunan dengan sewenang-wenangnya. Walaupun kerajaan negeri ada memberikan komitmen, kami berharap ia dapat diteruskan.

9. Isu krisis air sememangnya satu isu yang serius dan pemberian air percuma harus dinilai kembali. Pada masa sama, langkah penjimatan air yang lebih proaktif harus diatur supaya air bersih terawat tidak digunakan untuk aktiviti lain seperti perkebunan atau mencuci kereta.

Kerajaan negeri juga harus melihat bagaimana kita boleh menggunakan kuasa solar dan angin dengan lebih berkesan sebagai sumber tenaga alternative yang baru, iaitu sumber tenaga yang lebih mesra alam sekitar.

10. Semasa krisis rampasan kuasa Perak yang berlaku pada tahun 2009 dan baru-baru ini, semasa krisis MB Selangor, sering dinyatakan Pakatan Rakyat bahawa satu pindaan Undang-undang Tubuh Negeri harus dibuat untuk mengukuhkan institusi demokrasi. Sejauh manakah komitmen PR melakukan pindaan perlembagaan untuk memberikan kuasa yang lebih kepada rakyat.

Selain itu, terdapat juga beberapa isu tempatan yang sudah lama kami dikendalikan memerlukan campurtangan segera YAB:

i. Flat Taman Permata Dengkil – melibatkan 400 keluarga bekas pekerja ladang yang telah dipindahkan kerana projek Putrajaya. Kini kerajaan negeri harus mengambilalih tanah daripada pihak Sime Darby dan memberikannya kepada kerajaan Persekutuan untuk membolehkan rumah teres kos rendah dapat dibina dengan segera.

ii. Projek terbengkalai – RKR Taman Petaling Utama PJS1. Perjanjian jual beli telah ditandatangani sejak 2003/2004, tetapi pemaju masih gagal membina RKR bagi 276 pembeli. TSKI telah cuba rampas tanah pemaju untuk bina rumah, tetapi pemaju berjaya menghentikannya di mahkamah.

iii. Projek terbengkalai 24 tahun di Taman Sri Raya. Banyak usaha diambil oleh pembeli rumah kos rendah. Pemaju ini telah berjaya jalankan semua projeknya kecuali perumahan kos rendah. Baru-baru ini, Jawatankuasa penduduk telah menulis surat kepada DSWA selaku ADUN Kajang untuk menyelesaikan isu ini, tetapi tiada sebarang maklumbalas.

iv. Beberapa isu tanah juga sudah lama mengalami masalah dan memerlukan campurtangan segera daripada pihak Menteri besar. Antara isu tanah yang diselaraskan oleh kami yang ada pelbagai masalah status tanah yang tidak jelas adalah isu di Lot 334 dan 337 Kampung Pinang Tambahan di mukim Hulu Bernam, Daerah Hulu Selangor dan Kampung Sri Tanjung di Dengkil yang melibatkan 68 keluarga.

v. Pasar Awam MBSA, Kg. Baru Subang, suatu projek penswastaan Upen. Pemindahan penjaja pasar ke bangunan sementara sejak tahun 2006, kini bangunan baru telah siap tetapi pemaju masih belum menyerahkannya kepada MBSA kerana isu IWK. 70 lebih penjaja terpaksa merengkok dalam bangunan sementara pasar yang sempit dan kotor sehingga kini.

Kami amat berharap YAB dapat menyelesaikan isu-isu ini. Kami sedia membantu dan bekerjasama untuk mencari satu penyelesaian terbaik untuk isu-isu rakyat yang telah kami pertengahkan ini. – 28 Oktober, 2014.

* S. Arutchelvan merupakan Setiausaha Agung PSM.


Pengarang :