NASIONAL

Arak: Kerajaan patut ubah polisi MAS, Majlis Fatwa nyata pendirian

SHAH ALAM 18 NOV: Majis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia ( MAPIM) mendesak supaya Kerajaan Pusat mengubah polisi sedia ada berkenaan hidangan arak dalam pesawat MAS.

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pendedahan di Dewan Rakyat berkenaan harga setiap tiket dibeli penumpang termasuk kos hidangan disediakan dalam pesawat MAS termasuk arak tidak wajar dan mesti diubah serta merta.

Katanya, pendedahan dibentang Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi dalam dewan minggu lalu menjelaskan lagi polisi MAS perlu diperbetulkan untuk diselaras dengan syariah.

mas“Adalah pelik ketika MAS sudah berumur lebih 50 tahun, polisi berkenaan arak dan pakaian pramugari masih tidak dapat ditentukan kerajaan diterajui pengurusan beragama Islam,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, alasan khidmat MAS untuk semua penumpang termasuk bukan Islam menjadi sebab hidangan arak diizinkan adalah tidak wajar.

Katanya syarikat penerbangan antarabangsa membawa penumpang bukan Islam juga setakat ini tidak membenarkan arak dihidang adalah Arab Saudi, Kuwait, Iran, Bahrain, Pakistan dan Brunei.

Juga terdapat syarikat lain dinyatakan sebagai syarikat penerbangan yang tidak ada arak iaitu Afriqiyah airlines, Air Arabia, Jazeera Airline dan India (untuk penerbangan domestik).

“Alasan meraikan pelanggan bukan Islam dalam negeri dan antarabangsa tidak seharusnya diterima kerana keselamatan penerbangan adalah keutamaan, bukan hanya mahu melayan kehendak pelanggan yang boleh membahayakan penumpang lain,” katanya.

Mohd Azmi berkata, MAS tidak harus mempertahankan kewajaran menghidang arak dalam khidmatnya kerana terdapat syarikat penerbangan yang boleh mengendalikan operasi tanpa arak dan tidak mengalami masalah.

Mohd Azmi Abdul Hamid“Memaksa orang Islam membeli tiket yang didalamnya termasuk kos hidangan arak adalah suatu penipuan yang berat implikasinya kepada mereka.

“Kini, penumpang Islam rasa tidak selesa bila mengetahui mereka membayar subsidi arak penumpang lain. Ada ramai orang bukan Islam tidak suka arak tetapi terpaksa membayar dalam tiket penerbangan MAS,” katanya.

Beliau menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa berkenaan isu terbabit supaya pelanggan Islam tidak terus bersubahat dalam hidangan arak dalam sistem penerbangan MAS bila membeli tiket dari syarikat itu.

-NFN-


Pengarang :