Selangorkini
SELANGOR

Audit: Selenggara Masjid Negeri kurang memuaskan

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 11 NOV: Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan tujuh bentuk kerosakan yang dialami Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan sehingga kini masih belum dibaiki.

Hasil temu bual audit dengan wakil kontraktor yang berpengalaman selama lapan tahun sebagai penyelia penyelenggaraan Masjid Negeri memaklumkan, kerosakan bahagian utama seperti bumbung, kubah (termasuk piramid dan ayat kaligrafi pada kubah) dan lif pelancong mula dikesan sejak dia mula bertugas di situ.

Komponen lain yang turut mengalami kerosakan adalah lif servis, sistem kawalan teknikal, lima pancuran, menara jam dan pam bawah tanah.

Masjid mendungTerdapat beberapa komponen yang ditemui juga sudah tidak berfungsi lebih daripada lapan tahun, sekali gus menyaksikan audit mengklasifikasikan pelaksanaan penyelenggaraan Masjid Negeri kurang memuaskan.

Semakan audit mendapati, Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Petaling sudah melaksanakan 23 kerja penyenggaraan baik pulih di Masjid Negeri dengan nilai perolehan kerja RM3.27 juta bagi tahun 2011 hingga 2013.

Sehingga Mac lalu, JAIS meluluskan sembilan kerja penyelenggaraan baik pulih dengan anggaran kos kerja RM0.72 juta.

“Semakan audit terhadap Minit Mesyuarat Jawatankuasa Tadbir Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Bilangan 3 Tahun 2013 (11 Oktober 2013) mendapati JAIS melalui JKR sedang dalam tindakan untuk membaik pulih kubah Masjid Negeri.

bumbung1“Sehingga tarikh pengauditan, JKR sudah melantik perunding arkitek dan jadual pelaksanaan kerja baik pulih sedang disusun peringkat negeri.

“Mengikut maklum balas JAIS bertarikh 24 Julai lalu, sejumlah RM2 juta peruntukan diluluskan tahun ini untuk kerja baik pulih.

“Pemeriksaan akhir kubah bersama JKR dilakukan pada 8 Julai lalu dan tender bagi kerja membaik pulih dijangka akan dibuat pada Disember ini,” katanya.

Audit turut menyentuh soal Dokumen Kontrak Perkhidmatan Pengurusan Harta Secara Komprehensif Masjid Negeri yang tidak disediakan dengan baik menyebabkan berlaku pembayaran bagi komponen yang tidak wujud, selain tiada pemotongan bayaran yang dibuat bagi sebahagian daripada komponen rosak.

Jelas audit lagi, Masjid Negeri perlu berada dalam keadaan yang terbaik kerana selain berfungsi sebagai tempat beribadat ia juga adalah mercu tanda Selangor dalam bidang pelancongan.

-NFN-


Pengarang :