SELANGOR

Belanjawan defisit, Mohamed Azmin bidas Abdul Khalid

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 26 NOV: Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali sekali lagi menegaskan pentadbiran Kerajaan Negeri sebelum ini membentangkan bajet defisit.

Mohamed Azmin berkata, belanjawan yang dibentangkan mantan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selama ini bukan belanjawan berimbang seperti didakwanya dan beliau menasihati Abdul Khalid untuk bercakap berdasarkan fakta yang benar.

“Kalau bandingkan anggaran perbelanjaan dengan rezab memang ada lebihan. Jika bentangkan belanjawan, kamu kena bandingkan anggaran perbelanjaan dengan hasil.

dun14“Jadi, kalau hasil lebih besar daripada perbelanjaan bolehlah dipanggil lebihan bajet tetapi jika hasil lebih rendah daripada perbelanjaan keseluruhan bajet, maka itu adalah bajet defisit.

“Kamu tidak boleh bandingkan dengan jumlah rezab, tetapi bandingkan dengan perbelanjaan,” katanya di lobi Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Abdul Khalid yang mendakwa Kerajaan Negeri di bawah pentadbirannya sebelum ini tidak pernah membentangkan bajet defisit, semalam.

Pada 24 November lalu, Mohamed Azmin sewaktu pembentangan bajet pertamanya mendakwa pembentangan bajet defisit adalah sama dengan amalan pentadbiran sebelum ini.

-NFN-


Pengarang :