Selangorkini
NASIONAL

Banjir Cameron: Perayu undi BN kecewa Palanivel tak beri bantuan sewajarnya

Oleh: NAZLI IBRAHIM

CAMERON HIGHLAND 11 NOV: Selepas bertungkus-lumus membantu Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu, mangsa banjir, Marry Alen a/p Ramanaidu kecewa apabila mendapati Ahli Parlimen Cameron Highland Datuk Seri G. Palanivel tidak serius membantu mangsa banjir di Ringlet di sini.

Beliau yang bertindak sebagai perayu undi ketika PRU-13 lalu berkata Palanivel sepatutnya menyediakan rumah mampu milik atau sekurang-kurangnya tapak rumah untuk mereka diami.

banjircameron3“Kita mohon rumah atau tapak rumah dah lama tetapi tak dapat. Bukan nak percuma tetapi kami nak beli.

“Dia orang ingat kasi duit boleh selesai? Mana boleh selesai, sebab paling penting rumah. Bagi duit tak penting. RM1,000, RM2,000 sekejap saja habis. Duit boleh cari.

“Datuk-datuk, menteri-menteri tolonglah bertimbang rasa sikit. Dulu masa pilihan raya, saya juga ada tolong pergi rumah-rumah bagi tahu undilah untuk Palanivel tetapi sekarang bila banjir, sakit hati,” kata Marry Alen ketika ditemui Selangor Kini di Dewan Orang Ramai Ringlet di sini.

Jelas beliau Palanivel dalam lawatan singkatnya berjanji untuk menyediakan kawasan penempatan yang selamat kepada mangsa banjir.

“Cakap sahaja tak guna, kita nak dia laksanakan dahulu baru boleh cakap,” kata beliau lagi.

Sebelum itu seorang lagi mangsa yang juga bekas penduduk Lembah Bertam, Jamil Abdullah, 56, turut membangkitkan janji kerajaan untuk menyediakan penempatan baru yang selamat dalam tempoh enam bulan.

Bagaimanapun selepas setahun masih tiada tindakan pihak bertanggungjawab hingga kediaman sementara yang diberikan sekali lagi mengalami banjir.

Sementara itu ketika menceritakan kembali kejadian banjir di Kampung Baru Ringlet baru-baru ini, Marry Alen memberitahu kejadian Khamis lalu merupakan kali kedua dalam tempoh tiga hari sahaja.

“Hari Selasa banjir, lepas itu dah cuci rumah. Kemudian Khamis banjir semula,” kata beliau lagi.

Cerita beliau lagi air naik dengan begitu pantas hingga menyebabkan banyak barang bernilai seperti perabut, peralatan elektrik dan kenderaan tidak sempat diselamatkan.

Kumaresan a/l Kadianpan, 40, pula memberitahu air deras banjir itu turut menyebabkan dinding rumahnya pecah dan merosakan kereta yang baru dibelinya tenggelam.

“Tak sempat buat apa-apa. Barang elektrik seperti komputer dan lain-lain serta kereta yang baru beli sebulan lalu juga tenggelam kerana hanya sempat selamatkan nyawa sahaja, paling penting,” kata Kumaresan.

Leong Tee Chang, 66, pula memberitahu keluarga beliau mengalami kerugian dianggarkan bernilai lebih RM100,000 termasuk tiga buah motorsikal, sebuah kereta dan pelbagai barangan elektrik lain.

“Rumah saya dinaiki air lebih kurang enam kaki sangat cepat. Tak boleh buat apa-apa pun,” kata beliau.

EZY


Pengarang :