Selangorkini
KENYATAAN MEDIA

Had umur pimpinan belia AMK turun ke 35, pemuda Umno?

Oleh : NIK NAZMI NIK AHMAD

Saya ingin menzahirkan sokongan kepada kenyataan Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan agar had umur pemegang jawatan dalam badan-badan NGO yang berorientasikan belia diturunkan.

Menurut laporan media, Khairy mencadangkan had umur ini diturunkan daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

Ini tentulah satu perkara yang baik. Sebagaimana pernah saya tekankan, anak muda lebih mudah didekati jika dipimpin dan diberikan khidmat oleh mereka yang berada dalam lingkungan usia setara.

Untuk rekod, Angkatan Muda PKR (AMK) sudah menurunkan had usia bagi pemegang jawatan dan anggota dalam sayap PKR ini kepada 35 tahun berkuatkuasa bermula pemilihan parti pada tahun ini.

Sudah tentu, perlaksanaannya akan menjadi cabaran besar. Usul penurunan usia yang dinyatakan boleh menjadi agak drastik bagi sesetengah organisasi.

Justeru, kelonggaran wajar diberikan. Sebagai contoh, had penurunan usia boleh dikurangkan kepada 35 tahun di peringkat permulaan.

Pada masa yang sama, parti-parti politik tidak wajar dikecualikan daripada had usia ini.

Adakah YB Khairy turut mencadangkan had usia yang sama untuk sayap Pemuda partinya, Umno?

Kita menunggu, namun tanpa harapan besar mengenainya. Ahli politik patut mengamalkan apa yang mereka katakan.

# Nik Nazmi adalah Ketua Angkatan Muda PKR (AMK)


Pengarang :