Selangorkini
SELANGOR

MB: RM600 juta wang Marris selenggara jalan

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 24 NOV : Kerajaan Selangor dijangka akan memperoleh sejumlah RM600 juta daripada kerajaan pusat untuk peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (Marris).

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata Kerajaan Negeri bersetuju untuk membelanjakan peruntukan itu bagi kerja-kerja yang dibenarkan berdasarkan garis panduan tatacara penyelenggaraan jalan negeri Marris.

grafik-DNSBeliau turut memberi jaminan akan menggunakan sepenuhnya peruntukan itu dengan efisyen dan tanggungjawab.

“Kerajaan negeri sentiasa berpandukan garis panduan tatacara pengurusan pemberian penyelenggaraan jalan negeri seperti tertakluk pada perenggan 11 garis panduan tatacara pengurusan pemberian penyelenggaraan jalan negeri Selangor.

“Kerajaan Negeri bersedia meningkatkan peruntukan Marris tertakluk kepada keupayaan agensi pelaksana manakala kelulusan peruntukan selain daripada jalan dan longkang akan dilakukan mengikut permohonan kes,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mulut daripada Shahrum Mohd Sharif (BN-Dengkil) berhubung Marris dan peruntukan pembangunan di negeri Selangor.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata Kerajaan Negeri sudah membuat perancangan komprehensif dalam memastikan semua jabatan dan agensi pelaksana memahami keperluan sebenar.

Ia untuk membuat permohonan pelaksanaan kerja di bawah Marris selari dengan garis panduan penyelenggaraan jalan negeri.

Selain itu, katanya Kerajaan Negeri juga memastikan semua jabatan dan agensi pelaksana mengemaskini data dalam sistem Marris secara talian berhubung jalan raya di bawah seliaan mereka.

“Selain aktiviti dirancang, jawatankuasa pentadbiran kumpulan wang amanah penyelenggaraan jalan negeri turut mempertimbangkan permohonan tambahan yang selaras dengan Marris.

“Penambahbaikan ke atas tatacara urusan kumpulan wang penyelenggaraan negeri ini dibuat dari masa ke masa mengikut kesesuaian di pihak Kerajaan Negeri,” katanya yang juga Adun Bukit Antarabangsa.

Sementara itu, ketika menjawab pertanyaan Datuk Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) berhubung langkah Kerajaan Negeri untuk memastikan agensi yang dilantik dapat melaksanakan projek penyelenggaraan, Mohamed Azmin berkata mereka yang bertanggungjawab akan diberikan latihan kemahiran.

“Agensi pelaksana perlu kenalpasti projek dan jalan berlubang pada peringkat awal supaya kerja-kerja pengeluaran tender ini dapat dibuat pada awal tahun sebelum kerja-kerja dilaksanakan.

“Dari segi kualiti, Kerajaan Negeri bersetuju untuk mengadakan satu program latihan bagi memastikan semua jurutera di pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh dikerah dengan latihan kemahiran bagi pengendalian kerja-kerja yang termaktub dalam Marris,” katanya.

EZY


Pengarang :